Share on Facebook

KUALA LUMPUR, Calon Perdana Menteri Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad seharusnya adalah orang pertama menunjukkan contoh yang baik dan tidak menyalahgunakan kuasa atau melanggar undang-undang, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata Dr Mahathir merungut beliau tidak dibenarkan untuk melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim di hospital hari ini dan Dr Mahathir perlu tahu bahawa seseorang tidak boleh tiba-tiba muncul semata-mata untuk bertemu seorang banduan kerana ada prosedur yang terlibat.

“Jika tidak, beliau akan mengajar rakyat Malaysia bahawa jika anda seorang yang berkedudukan, maka anda tidak perlu mematuhi undang-undang.

“Adakah Mahathir mematuhi prosedur yang sepatutnya, Malah isteri sekalipun tidak boleh melawat suami di penjara jika prosedur sepatutnya tidak dipatuhi, kata beliau menerusi catatan dalam blog beliau sskeruak.blogspot.my malam tadi.

“Isteri dan peguam perlu terlebih dahulu mendapat kelulusan sebelum dibenarkan melawat banduan dan itupun, ada waktu tertentu dan tarikh yang diluluskan sebelum lawatan tersebut boleh dilakukan.”

“Tidak timbul perkara seperti ‘ad hoc’ atau lawatan mengejut dan juga ia tidak boleh melebihi jumlah jam yang dibenarkan dalam seminggu,” kata beliau.

Bendahari UMNO itu berkata ia kelihatan pelik bahawa sebelum ini Dr Mahathir sama sekali tidak berminat untuk melawat Anwar di penjara.

Beliau berkata Anwar dipenjarakan dari 1998 hingga 2004 dan kemudian dari 2015 sehingga sekarang tetapi Dr Mahathir tidak pernah mahu melawatnya di penjara.

“Pada 1998, Anwar dimasukkan ke hospital berikutan insiden ‘mata lebam’ dan Mahathir tidak menunjukkan perhatian untuk melawatnya.

“Bagaimanapun sekarang, oleh kerana Mahathir memerlukan Anwar untuk menyokongnya sebagai calon Perdana Menteri, beliau tiba-tiba begitu teruja untuk bertemu Anwar di penjara,” kata Salleh.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *