Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu sudah memeriksa 12 daripada 47 sekolah pondok dan pusat tahfiz yang berdaftar sepanjang tahun ini.

Pengarah JBPM Terengganu Azlimin Mat Nor menjangka kesemua 47 madrasah itu akan selesai diperiksa sebelum penghujung tahun ini.

“Hasil pemeriksaan di 12 sekolah pondok dan pusat tahfiz itu, kami berpuas hati dengan aspek keselamatan yang menepati piawaian ditetapkan JBPM.

“Cuma ada satu atau dua sahaja yang perlu melakukan penambahbaikan seperti lampu kecemasan di laluan keluar, tanda arah laluan kecemasan dan memastikan semua alat pemadam kebakaran berfungsi dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas memeriksa Madrasah Al Rahmah di Kampung Paloh Sungai Kiat di sini, pada ahad.

Beliau yang berpuas hati dengan tahap keselamatan kebakaran di madrasah itu turut mengadakan taklimat khas kepada pelajar, warden dan tenaga pengajarnya mengenai langkah pencegahan kebakaran dan pelan kecemasan yang perlu diambil sekiranya kejadian tidak diingini berlaku.

Ditanya mengenai kesediaan JBPM Terengganu membantu mana-mana sekolah pondok dan pusat tahfiz membuat pemeriksaan tahap keselamatan pula, Azlimin berkata pihaknya sangat mengalu-alukan permohonan seumpama itu.

“Kita sedia memberi khidmat nasihat kepada mereka tanpa mengira sama ada ia telah berdaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) atau belum.

“Memberi khidmat nasihat dan bimbingan itu memang keutamaan kami, namun ia bukanlah pemeriksaan yang bertujuan memberi sokongan untuk mendapatkan sijil layak menduduki (CF) daripada mana-mana Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Itu adalah perkara berbeza kerana untuk mendapatkan CF, sekolah pondok dan pusat tahfiz itu mestilah mematuhi kesemua peraturan yang ditetapkan,” katanya.

JBPM Terengganu menganggarkan terdapat lebih 200 sekolah pondok dan pusat tahfiz yang beroperasi di seluruh negeri ini dan berharap pengurusan yang masih belum berdaftar dengan pihaknya segera berbuat demikian demi keselamatan pelajar.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Madrasah Tahfiz Al Rahmah, Mustaffa Said, berkata pihaknya lega setelah mendapat kelulusan JBPM Terengganu selain mendaftar dengan Maidam yang akan melancarkan lagi operasi madrasah berkenaan.

“Kami mempunyai 48 pelajar termasuk tujuh pelajar dari Kemboja dan lima dari Vietnam yang dibantu oleh empat tenaga pengajar dan dua warden.

“Kerjasama dengan pihak bomba akan meningkatkan lagi keyakinan pelajar terutama keluarga mereka mengenai tahap keselamatan anak-anak mereka di sini. Kami juga menubuhkan Skuad Bomba seperti yang disarankan kerajaan,” katanya.

Di SETIU, Penguasa Kanan Bomba dan Penyelamat Terengganu  Zon 1 Wan Azmi Ahmad berkata sebanyak 47 sekolah tahfiz dan madrasah di negeri Terengganu akan menyertai latihan keselamatan kebakaran di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM), Wakaf Tapai dalam masa terdekat.

“Kursus sehari ini akan dibahagikan kepada dua sesi iaitu kelas mengenai aspek keselamatan dan latihan simulasi termasuk cara penggunaan alat pemadam api dengan betul,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan di beberapa sekolah tahfiz di sini, hari ini.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *