MH Online

Laman Suara Rakyat

Bomba Bina 180 Buah Rumah Bibawah NBOS

KUALA PILAH, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah membina 180 rumah melibatkan kos keseluruhan RM7.24 juta di seluruh negara dalam program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) sejak tahun 2012 sehingga 2017.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM Datuk Amer Yusof berkata dalam tempoh yang sama pihaknya juga telah membaiki 139 rumah dengan kos RM1.6 juta.

“Pelbagai respons positif diterima daripada pelbagai lapisan masyarakat yang melihat projek seperti ini dapat membantu mangsa yang ditimpa musibah bencana kebakaran.”

“Walaupun jika dilihat dari segi jumlah rumah yang dibina tidaklah terlalu besar, tetapi bagi kami di JBPM merasakan  ia cukup bermakna untuk menunjukkan keprihatinan agensi kerajaan dalam membela dan membantu rakyat yang susah, khususnya golongan yang kurang berkemampuan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci rumah projek pembinaan semula rumah di bawah program NBOS7: Kejiranan Indah di Kampung Parit Seberang di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Pilah Datuk Norhayati Omar. Turut hadir Pengarah Bomba negeri, Norazam Khamis.

Katanya pada tahun ini, jabatannya akan melaksanakan pembinaan semula 27 rumah terbakar atau daif dengan kos RM1.13 juta dan membaik pulih 100 rumah daif dan usang membabitkan kos RM1.34 juta di seluruh negara.

Amer berkata setiap unit rumah mendapat peruntukan RM40,000 untuk bina semula manakala kos untuk baik pulih pula bergantung kepada kerosakan.

“Bantuan membaik pulih dan membina semula rumah ini diberikan kepada mangsa kebakaran yang kurang berkemampuan bagi membantu meringankan beban mereka. Segala kerja baik pulih dan bina baharu ini dilakukan sepenuhnya oleh anggota bomba secara gotong-royong,” katanya.

Sementara itu, penerima bantuan bina rumah baharu, Zainon Akil, 61, meluahkan rasa gembira apabila menerima kunci rumah baharunya hari ini.

“Rumah yang kami sekeluarga duduki sebelum ini telah lama dan banyak yang telah rosak terutama di bahagian bumbung dan dinding dan kami tidak mampu membina semula rumah baharu. Arwah suami saya Baharin Taib sebelum ini pernah mohon rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan tahun lepas saya dimaklumkan pihak bomba sedia membantu membina rumah baharu.”

“Saya amat bersyukur apabila dimaklumkan menerima bantuan bina semula rumah. Saya amat berterima kasih kepada pihak bomba di atas bantuan ini,” katanya.

Norazam pula berkata projek pembinaan rumah itu bermula 28 Nov 2017 dan siap pada 15 Jan 2018.

“Seramai 18 pegawai dan anggota bomba terlibat dalam pembinaan rumah ini. Projek pembinaan rumah ini mendapat peruntukan RM40,000 daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah,” katanya.