Oleh : Hidayat Fansyuri

Astro First Eksklusif sekali lagi mempertaruhkan sebuah naskah unggul, istimewa untuk penonton setia saluran 480. Kali ini, filem TV yang bakal menemui peminat mulai 27 April 2017 ini menampilkan pendekatan lain dari yang lain, yang mana ia memberi penekanan akan aspek seni kreatif baik dari segi plot penceritaan mahupun keseluruhan penerbitan.

‘Bo Bajet’ (yang bermakna ‘Tiada Bajet’ dalam Bahasa Melayu) merupakan sebuah filem TV yang dihasilkan oleh Woohoo Pictures Sdn Bhd, produksi yang bertanggungjawab menzahirkan karya-karya berkualiti tinggi yang berjaya meraih kutipan jutaan ringgit menerusi filem-filem pecah panggungnya seperti ‘Ola Bola’ dan ‘The Journey’.

‘Bo Bajet’ menyuntik pelbagai elemen unik yang berkreativiti tinggi dan mampu memukau penonton terutamanya apabila sebahagian dari babak yang ditampilkan mengangkat teknik khas dan efek animasi yang belum pernah ditayangkan dalam mana-mana penerbitan tempatan. Bersesuaian dengan tajuk yang diberikan, ‘Bo Bajet’ dizahirkan dengan peruntukan kewangan yang minima namun begitu pada masa yang sama tidak berkompromi dengan hasil akhir yang dipaparkan, yang mana ianya perlu memiliki kualiti yang setanding dengan filem-filem TV yang lain.

‘Bo Bajet’ mengisahkan tentang tiga orang pelajar jurusan perfileman di sebuah universiti tempatan (Shauki, Ajis dan Dee Dee) yang bercita-cita untuk menghasilkan sebuah filem yang cukup hebat, namun di atas faktor kekangan kewangan, mereka perlu memikirkan cara yang paling kreatif untuk menyiapkan tugasan mereka ini.

Mereka kemudian melawat ke sebuah kampung dan berjumpa dengan Puan Siti (watak Puan Siti ketika di usia tua dilakonkan oleh Fatimah Abu Bakar), seorang bekas polis yang begitu digeruni di sekitar tahun 1980’an.

Puan Siti kemudiannya berkongsi mengenai kisah kehebatan beliau dalam menyelesaikan pelbagai masalah dan membanteras jenayah di kawasan-kawasan yang ditugaskan, ketika di usia muda.

Beliau membuka cerita dengan berkongsi akan pengalaman beliau pulang ke kampung bakal suaminya, Ramli (lakonan Saharul Ridwan) untuk diperkenalkan kepada ibu Ramli, Puan Senah (lakonan Noryati Taib).

Namun begitu, pelbagai perkara mistik mula berlaku di kampung tersebut yang menyebabkan Puan Siti (watak Puan Siti ketika muda dilakonkan oleh Janna Nick) turut terlibat turun padang untuk menyiasat kejadian-kejadian yang berlaku yang menghantui orang-orang di kampung itu.

Cara hidup masyarakat setempat di kampung tersebut yang begitu mempercayai akan hal-hal berkaitan dengan kewujudan mistik, misteri dan paranormal menyulitkan lagi siasatan Puan Siti, lagi-lagi apabila penduduk kampung mendesak Penghulu (dilakonkan oleh Faiq Syazwan Kuhiri) untuk mendapatkan Tok Bomoh bagi membantu dengan upacara mengusir hantu. Pemikiran kolot orang kampung ini menyebabkan Puan Siti hilang sabar dan mula bertindak di luar kawalan.

Menurut Pengarahnya, “Bo Bajet merupakan percubaan pertama untuk menembusi pasaran filem-filem berbahasa kebangsaan.

Kami begitu berhati-hati dari aspek perbelanjaan, namun begitu tetap memastikan filem yang dihasilkan berkualiti tinggi dan akan diterima ramai. Untuk menampilkan kelainan dalam filem ini, kami banyak menyelitkan elemen segar dan babak suspen serta penuh aksi yang dilakonkan sendiri oleh watak-watak utama ‘Bo Bajet’.

Mereka ini mendapat bimbingan stuntman profesional yang dibawa khas dari Singapura dan latihan yang diberikan cukup intensif agar pelakon yang terlibat sentiasa berada dalam keadaan siap sedia untuk beraksi terutamanya dalam babak pergaduhan.

Seperti dimaklumkan, peruntukan kewangan untuk filem ini adalah terhad, oleh itu aksi kejar-mengejar kereta yang diangkat dalam filem ini dihasilkan menerusi efek teknologi CGI (teknik penerapan teknologi komputer grafik) dengan hanya menggunakan beberapa buah kereta kawalan jauh.”

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *