Barisan Nasional (BN) tidak gentar dengan provokasi dicetuskan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu pembangkang menewaskan BN pada dua pilihan raya kecil (PRK) yang akan berlangsung bulan depan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata adalah menjadi tanggungjawab anggota parti itu untuk mempertahankan UMNO dan BN khususnya daripada sebarang provokasi dan serangan pihak tertentu yang cuba menjatuhkan kerajaan BN.

Menteri Besar Perak itu berkata apa yang penting ketika ini ialah memberi fokus kepada persiapan menghadapi PRK dengan mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Kangsar yang disandang BN sebelum ini dan juga kerusi Parlimen Sungai Besar (Selangor).

“Dalam setiap PRK, sudah tentu adanya cabaran yang akan kita hadapi. Jikalau dahulu cabaran datangnya daripada pembangkang namun kali ini cabaran daripada bekas perdana menteri pula.

“Kita perlu menyusun (strategi) untuk berhadapan dengan cabaran sedemikian. Saya lebih suka pendekatan yang diamalkan selama ini ketika kita mengendalikan pilihan raya kecil atau pilihan raya umum di Perak,” katanya.

Zambry bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke syarikat industri penghasilan jentera, Bromma (Malaysia) Sdn Bhd di Zon Perindustrian Bebas Kinta di Chemor yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir yang meletakkan harapan besar supaya parti pembangkang bersatu meletakkan satu calon untuk menewaskan BN masing-masing di PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Sementara itu, Zambry memberi amaran tindakan tegas termasuk tindakan dipecat akan diambil terhadap anggota UMNO yang menjadikan perbuatan mensabotaj parti sebagai penghalang dalam usaha memenangi kerusi Parlimen itu pada 18 Jun.

“Kita tidak boleh berkompromi sama sekali dengan mana-mana pihak yang mengkhianati parti. Tindakan terhadap pengkhianat parti ialah dengan mengeluarkan mereka daripada parti.

“Ini bukan dalam konteks BN sahaja kerana pembangkang juga akan melakukan perkara yang sama jika anggota mereka didapati mensabotaj parti,” katanya.

Kerusi Parlimen Kuala Kangsar kosong berikutan penyandangnya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas. Turut terkorban dalam nahas itu anggota Parlimen Sungai Besar, Selangor yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon.

Jumaat lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun ianakala penamaan calon pada 5 Jun.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *