ALOR SETAR  Kerajaan Barisan  Nasional (BN) memerlukan mandat yang lebih besar di Kedah bagi memastikan kesinambungan pembangunan termasuk dalam bidang teknologi tinggi di negeri itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata kerajaan persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan memastikan pembangunan di Kedah dilaksanakan dengan seimbang di kawasan bandar, pinggir bandar dan luar bandar, yang merupakan tiga elemen penting untuk memajukan negeri itu.

“Walaupun Kedah merupakan negeri yang menghasilkan 37 peratus makanan utama negara, kerajaan persekutuan tidak akan lupakan Kedah dalam (pembangunan) bidang teknologi tinggi.

“Saya akan terus bantu perdana menteri untuk pastikan Kedah akan terus diberi keutamaan dengan  syarat kita (BN) diberi mandat yang lebih  besar daripada apa yang diberikan selama ini,” katanya berucap merasmikan Ekspo Muafakat Kedah di sini,  hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa segala pengumuman peruntukan yang dibuat oleh perdana menteri ketika melawat Kedah dan Langkawi bukan dedak  sebaliknya ia adalah sebagai komitmen kerajaan persekutuan untuk rakyat negeri itu sepenuhnya.

Kalau RM1.3 bilion (yang diumumkan perdana menteri untuk projek di Langkawi) (dikatakan) sebagai dedak, orang yang bercakap itulah yang selama ini beri dedak kepada rakyat Kedah, katanya yang jelas merujuk kepada kenyataan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menuduh kerajaan memberi ‘dedak kepada penduduk Langkawi menerusi peruntukan itu.

Ahmad Zahid berkata sebaliknya perdana menteri dan menteri besar Kedah telah menghimpunkan seluruh tenaga dan pemikiran untuk menyediakan peruntukan bagi membangun dan memajukan negeri itu dengan projek-projek besar dan projek-projek baharu sedang dalam penelitian untuk dilaksanakan.

Kerajaan persekutuan di bawah kepimpinan perdana menteri, dan saya pasti bantu beliau, akan pastikan peruntukan itu akan mengalir dengan deras di Kedah, katanya.

Beliau berkata di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan pasukannya telah berjaya bukan sahaja meneruskan kesinambungan pembangunan di negeri itu tetapi turut dapat melonjakkan kemajuan dan hasil pendapatan negeri Kedah.

Ahmad Zahid berkata bagaimanapun segala usaha kerajaan persekutuan itu memerlukan sokongan penuh daripada rakyat bagi memastikan segala perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dalam tempoh jangka panjang.

Timbalan perdana menteri berkata Ekspo Muafakat Kedah yang bermula hari ini menunjukkan bukti bahawa segala yang dirancang oleh kepimpinan menteri besar itu telah diterjemahkankan pelaksanaannya oleh barisan kepimpinan negeri dengan kerjasama agensi kerajaan negeri dan persekutuan.

Jika ini adalah satu bukti yang diperlihatkan maka amat rugilah jika tiada kesinambungan pentadbiran negeri Kedah ini.

Ekspo hari ini bukan hanya perlihatkan showcase untuk rakyat malah ia buktikan suatu pengukuhan dan kesinambungan bukan hanya sebelum ini, ketika ini, malah Insya-Allah dalam tempoh lima tahun akan datang jika mandat lebih besar diberikan, lebih banyak kemajuan akan dibawa, katanya.

Ekspo Muafakat Kedah sehingga 3 Mac ini menghimpunkan 119 jabatan kerajaan dan swasta yang diletakkan dalam 20 kelompok kluster mengikut kesesuaian, antaranya Dirgahayu Tuanku, Barakah Kedah, Suara Hati, Generasi Muda dan Kedah Harmoni.

Melalui ekspo itu, kerjasama semua jabatan dan agensi digembleng di bawah satu bumbung melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) iaitu semua jabatan diberi peluang untuk mempromosi perkhidmatan teras jabatan dan berpeluang untuk memberi perkhidmatan secara terus kepada rakyat.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *