Barisan Nasional (BN) perlu melakukan inovasi politik untuk bekerja sebagai satu pasukan agar parti gabungan itu terus relevan dan memikat hati rakyat.

Sehubungan itu, Anggota Parlimen Tuaran Datuk Seri Madius Tangau mengambil langkah inovatif bagi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan lebih baik dan komprehensif dengan memperuntukkan RM1 juta kepada sebuah parti komponen BN, Parti Bersatu Sabah (PBS) di Tamparuli dan Kiulu.

“Kami memperuntukkan RM500,000 masing-masing kepada Kiulu dan Tamparuli daripada Tabung Anggota Parlimen bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti serta menyelesaikan masalah rakyat di kawasan itu.

“Kami ingin bekerjasama dan mengatasi pelbagai cabaran yang dihadapi rakyat. (Disebabkan komitmen sebagai menteri) Saya tidak dapat berada di kawasan sepanjang masa, maka parti komponen BN perlu berganding bahu bagi memastikan perkhidmatan dapat disampaikan kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pemangku presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata BN telah membuktikan kemampuannya melalui rekod pencapaiannya selama ini.

Madius berharap Upko, PBS dan parti komponen BN lain di Kiulu dan Tamparuli terus bekerjasama bagi memastikan BN dapat mempertahankan Kiulu dengan majoriti besar serta menawan kembali Tamparuli pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Peruntukan ini menjadi pemangkin bagi kita untuk bekerja sebagai satu pasukan,” katanya selepas menyampaikan cek berkenaan kepada Anggota Dewan Undangan Negeri Kiulu Datuk Joniston Bangkuai dengan disaksikan ketua PBS bahagian Kiulu Datuk Louis Rampas.

Kedua-dua pemimpin PBS berkenaan memuji Madius kerana mengambil langkah luar biasa itu dan mereka yakin ia akan mengukuhkan lagi kerja berpasukan sesama anggota BN dalam persiapannya menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, dalam ucapan penghargaannya, Joniston berkata, yang penting, bukanlah jumlah yang diberi, tetapi niat yang melambangkan bahawa parti komponen BN sentiasa bekerjasama untuk membawa lebih banyak kemajuan di kawasan itu.

“Bukanlah bermakna selama ini tidak ada kerjasama, tetapi ia mencerminkan hubungan mesra yang sentiasa wujud antara kami,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *