JOHOR BAHARU, Usaha pembangkang yang ‘menangguk di air keruh’ dan mahu membina kerajaan baru di Terengganu tidak sekali-kali mematahkan semangat kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk terus bekerja keras di negeri itu.

Sebaliknya, kerajaan BN yang diketuai Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman bertekad terus berkhidmat untuk rakyat dengan sebaik mungkin.

“Kerajaan BN di Terengganu masih kukuh, jangan risau. BN masih memegang 17 kerusi dan PAS 14 kerusi, kita masih kukuh sebagai kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen Beautiful Terengganu Malaysia di Plaza Angsana, di sini malam tadi.

Menyifatkan isu bekas Menteri Besar yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said yang mahu membawa usul undi tidak percaya terhadapnya dan pembangkang mahu kerajaan baru, seperti ‘ribut dalam cawan’, beliau berkata baginya isu berkenaan sudah selesai.
“Bagi kita isu Terengganu telah selesai, tiada ada lagi. Kita tidak ada masa lagi memikirkannya, sekarang yang penting ialah memberi perkhidmatan kepada rakyat,” kata Ahmad Razif.

Bagi kerajaan BN di Terengganu, usaha akan ditumpukan sepenuhnya untuk menjadikan negeri itu negeri maju menjelang 2020, kata beliau.
Menyentuh mengenai isu peruntukan dana, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri tidak pernah menyekat malah membatalkan peruntukan yang diberikan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) kecuali peruntukan DUN Kijal yang diuruskan menerusi mekanisme lain.

“Kita antara negeri yang paling banyak memberikan peruntukan kepada DUN. Satu DUN dapat RM3 juta,” kata beliau.

Semalam, Ahmad Razif berkata kebajikan rakyat di DUN Kijal, Kemaman akan terus terbela, cuma cara penyaluran peruntukan sahaja yang berbeza.

Keputusan itu diambil setelah ADUN Kijal itu menimbulkan usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), 8 Mac lalu.

Susulan daripada itu, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Samad berkata pimpinan PAS Terengganu perlu menyatakan pendirian dengan segera dan membina kerajaan baru di Terengganu.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *