KUALA LUMPUR, Biro Kebajikan UMNO (BIKUM) menyasarkan melawat lebih 60,000 rumah di 60 lokasi seluruh negara sehingga akhir tahun ini menerusi jelajah program ‘UMNO Bantu Rakyat 2.0’ yang bermula hari ini.

Pengerusinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata program itu selari dengan matlamat UMNO yang mengutamakan kebajikan dan membela rakyat sepanjang masa selain memperkukuhkan imej parti.

“Sasarannya golongan miskin, ibu tunggal, pelajar dan golongan yang memerlukan di kawasan bandar dan luar bandar tanpa mengira kaum. Pendekatan kali ini sedikit berbeza iaitu lebih kepada akar umbi.

“Ia meliputi aktiviti yang dirancang BIKUM peringkat Pusat bersama pimpinan negeri termasuk Pemuda, Wanita, Puteri dan bahagian yang lebih menjurus kepada lawatan ke rumah di kawasan terpilih,” katanya pada sidang media program itu, di sini hari ini.

Program berkenaan adalah kesinambungan program UMNO Bantu Rakyat Fasa 1 yang dilancarkan Mei lalu dan berjaya membantu kira-kira 300,000 golongan sasar di 21 kawasan di seluruh negara.

Shamsul Anuar berkata, antara aktiviti yang akan dilaksanakan menerusi program UMNO Bantu Rakyat 2.0 adalah membuka 20,000 akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) secara percuma kepada pelajar Tahun Satu.

Selain itu, katanya, Klinik BIKUM Medical Team akan bergerak ke rumah yang mempunyai pesakit kronik.

“Yang turut diadakan adalah klinik motosikal percuma kepada golongan muda dan yang memerlukan, program pemeriksaan dan penyelenggaraan pendawaian rumah serta memperbaiki dan menghias rumah yang dilawati,” katanya.

Beliau berkata, BIKUM akan melawat kumpulan sasar di enam lokasi di Pahang, iaitu Bentong, Paya Besar, Temerloh, Bera, Pekan dan Cameron Highlands mulai hari ini sehingga Ahad diikuti negeri lain secara berperingkat.

Katanya, program itu mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), GiatMara dan Kementerian Kesihatan dengan lebih RM150,000 diperuntukkan untuk setiap kawasan dikunjungi.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *