Calon Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan berjanji akan melakukan perubahan besar jika diberi peluang menerajui persatuan – bermula dengan fokus kepada program peringkat akar umbi bagi mencungkil bakat baharu.

Bagi mencapai hasrat itu, Bibi Ramjani menegaskan, sejumlah peruntukan akan diberikan kepada Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) bagi program pembangunan bola sepak daerah.

“PBJ adalah penggerak kepada bola sepak di negeri ini dan mereka berfungsi melahirkan bakat baharu yang boleh diserap ke skuad senior bola sepak negeri.

“Lebih ramai bakat baharu dilahirkan, itu lebih bagus kerana ia dapat memacu ke arah meningkatkan prestasi pasukan The Red Warriors (TRW).

“Perkara ini adalah antara misi utama yang saya akan lakukan dengan menyediakan peruntukan kepada setiap PBJ bagi menambah kekuatan pasukan bola sepak negeri daripada peringkat akar umbi,” katanya.

Selain itu, beliau juga akan meneruskan usaha KAFA sebelum ini yang melahirkan ramai bakat muda menerusi skuad The President Warriors (TPW) dan The Young Warriors (TYW).

“Saya mengikuti perkembangan skuad ini dan saya dapati pada musim ini, kedua-dua skuad itu berada pada prestasi baik dan perlu dikembangkan lagi dengan beberapa usaha baharu yang saya sudah rancang.

“Sekarang ini pemilihan ada di tangan PBJ dan mereka saja menjadi penentu kepada pemilihan ini… saya berharap mereka (PBJ) membuat pilihan dengan niat mahu melihat KAFA diperbaharui,” katanya.

Bibi antara empat calon presiden yang akan ditentukan oleh PBJ pada kongres badan induk itu pada 17 September ini.

Tiga lagi calon ialah Datuk Mohamad Nasir Hamzah, Datuk Rosmadi Ismail dan Pengerusi Chengal Jati Sdn Bhd, Datuk Ir Shaari Hassan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *