Jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Frank Bernhardt mengakui perlu meningkatkan kepantasan pemainnya selain memastikan anak buahnya mampu kekal fokus sepanjang perlawanan.

Biarpun berpuas hati dengan persembahan barisannya yang mengikat skuad kebangsaan Nepal 1-1 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini malam tadi, Bernhardt menjelaskan masih banyak yang perlu dilakukannya.

“Ia masih sukar menentang lawan yang bermain pantas seperti Nepal tetapi pemain tetap mencuba…apabila kita menukar pemain pada babak kedua, barulah kita dapat beberapa peluang terbaik.

“Secara keseluruhan ia adalah perlawanan yang baik tetapi kita terlepas banyak peluang,” katanya selepas perlawanan itu, malam tadi.

Dalam perlawanan itu, pasukan pelawat mendapat jaringan awal menerusi Bharat Khawas pada minit ke-36 selepas berjaya mengatasi pemain pertahanan, Mohamad Faris Shah Mohd Rosli dan menewaskan penjaga gol, Muhammad Haziq Nadzli.

Bagaimanapun, Muhammad Arif Mohamed Anwar menafikan kemenangan buat Nepal apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-86.

Rabu lepas, skuad bimbingan Bernhardt yang dibentuk khusus untuk Sukan Sea 2017 menewaskan pasukan B-22 Filipina, yang juga disediakan bagi temasya dwitahunan itu, 4-1 dalam perlawanan pertama antarabangsa mereka di gelanggang sama.

Sementara itu, jurulatih Nepal, Gyotoku Koji berkata pasukan B-22 Malaysia memberikan saingan yang baik kepada pemainnya termasuk mengekang beberapa asakan pasukannya di babak kedua.

“Kami mempunyai banyak peluang untuk memastikan kemenangan tetapi pemain Malaysia beraksi baik,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *