Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, beri peluang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan penyiasatan mengikut kebiasaannya berhubung dakwaan penyelewengan projek pemindahan teknologi penternakan ikan Sturgeon.

Beliau berkata sudah pasti pihak pengurusan Felda masa ini akan bekerjasama dalam memastikan penyiasatan itu berjalan lancar.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai lima orang termasuk dua bekas pegawai kanan Felda ditahan SPRM semalam kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan projek Pemindahan Teknologi Penternakan Ikan Sturgeon bernilai kira-kira ASD10 juta (RM47.6 juta) sejak 2014.

Mohd Isa ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan kerusi roda oleh Encorp Bhd kepada Pusat Hemodialisis Mawar di sini, Rabu.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Encorp Bhd Datuk Zakaria Nordin dan Pengerusi Pusat Hemodialisis Mawar Datin Chua Lay Peng. Bekas pengerusi Felda itu berkata, beliau mengetahui mengenai perkara itu melalui surat khabar dan televisyen semalam.

Katanya apa yang dibuat oleh SPRM adalah untuk kebaikan semua.

“Jadi, biarlah pihak SPRM menjalankan tanggungjawabnya,” katanya.

Mohd Isa berkata beliau percaya menjadi amalan biasa semasa pengalamannya, semua pegawai akan memberikan kerjasama di atas tindakan yang diambil.

“Bukan sahaja daripada pihak SPRM, tetapi bila ada audit memang semua akan memberikan kerjasama. Ia adalah suatu perkara yang biasa,” katanya.

Pada majis itu, Mohd Isa menyampaikan 10 kerusi roda kepada pusat itu.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *