KUALA SELANGOR, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu pemimpin dan anggota Barisan Nasional (BN) Selangor memastikan gerak kerja parti ‘sifar kecacatan’ bagi merampas kembali negeri itu daripada pembangkang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau turut menagih komitmen daripada setiap jentera BN negeri tidak kira daripada UMNO atau parti komponen supaya bergerak sebagai satu pasukan di bawah panji BN.

“Dalam kebersamaan kita untuk ambil alih Selangor pastikan jangan ada kecacatan sekalipun, kita mesti memastikan sifar kecacatan, kita mesti bersatu padu, kita mesti bersepakat dan bekerja sebagai satu pasukan di bawah BN, itu penting,” katanya ketika berucap pada program Sentuhan Rakyat di Bandar Puncak Alam di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, Anggota Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Datuk Amiruddin Setro dan ADUN Bukit Melawati Jakiran Jacomah.

Tegas timbalan perdana menteri, kesepakatan dalam kalangan pemimpin dan anggota BN Selangor juga perlu diterjemahkan menerusi perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa mengira kaum.

Mengambil contoh Parlimen Kuala Selangor, Ahmad Zahid mengingatkan kepimpinan dan anggota BN di kawasan itu supaya bekerja lebih kuat memandangkan parti itu hanya memperoleh majoriti 460 undi untuk kerusi Parlimen tersebut pada PRU13.

“Ertinya kerusi ini (Kuala Selangor) Irmohizam, perlu diberikan tumpuan yang lebih untuk berkhidmat kepada pengundi dan penduduknya. Kita juga perlu pastikan DUN (Dewan Undangan Negeri) Jeram dan Bukit Melawati kita kekalkan selain merampas semula DUN Ijok.

“Tidak kira sesiapa sahaja yang terpilih kelak untuk bertanding di Parlimen Kuala Selangor dan ketiga-tiga DUN berkenaan, kita janji akan beri perkhidmatan terbaik untuk seluruh rakyat di Kuala Selangor, ” katanya.

Ahmad Zahid meminta rakyat Selangor supaya menolak pemimpin bermusim yang hanya muncul ketika pilihan raya.

“Di Selangor terdapat ‘kelawar-kelawar politik´ berkeliaran hanya bila tiba musim buah. Gaya politik seperti ini diamalkan kerajaan negeri Selangor di mana mereka akan simpan semua peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai khazanah.

“Bila umum bubar (Parlimen dibubar) maka masa itu mereka akan keluarkan semua peruntukan itu dan akan berlakulah hiruk-pikuk jentolak tolak batu-bata untuk baiki jalan berlubang. Mereka akan tunjukkan pada rakyat kononnya mereka ialah kerajaan yang prihatin, ” katanya.

Terdahulu, pada majlis itu timbalan perdana menteri turut meluluskan permohonan untuk membina balai polis, balai bomba, dewan orang ramai dan projek menaik taraf jalan di sekitar bandar Puncak Alam.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *