Share on Facebook

KUALA LUMPUR, Semua berek kediaman anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara yang uzur akan dibaik pulih dan dilengkapi kemudahan asas mengikut Dasar Perumahan Negara 2.0,  kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata sebagai permulaan, sebanyak RM13 juta diperuntukkan untuk melaksanakan penambahbaikan 15 blok berek anggota PDRM di Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras.

“Keperluan asas kediaman anggota PDRM  perlu ikut Dasar Perumahan Negara 2.0 iaitu menambah dua bilik kepada tiga bilik.

“Selain itu, kemudahan pusat ibadah seperti masjid dan surau selain kemudahan rekreasi juga perlu ditambah baik,” katanya kepada pemberita selepas melawat Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata beliau juga akan berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyediakan kediaman anggota polis di kawasan yang kos sewa rumahnya tinggi.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata kerajaan akan membina Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang dikhaskan untuk anak pegawai dan anggota polis sahaja.

Menurutnya, MRSM berkenaan berteraskan silibus Ulul Albab Imtiaz dengan hasrat untuk menjadikan anak-anak polis yang belajar di situ mempunyai kemahiran menghafal al-Quran dan huffaz dan dalam masa sama sebagai golongan profesional.

Terdahulu, Ahmad Zahid menyaksikan majlis menandatangani nota kerjasama antara PDRM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Maktab PDRM Kuala Lumpur.

Turut hadir menyaksikan pemeteraian nota kerjasama yang ditandatangani Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim itu ialah Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar.

Ahmad Zahid kemudiannya melancarkan PDRM Night Run 2018 yang akan berlangsung pada 17 Mac di Dataran Merdeka bersempena sambutan Hari Polis Malaysia ke-211.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *