KUALA TERENGGANU, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Terengganu mengesahkan bekalan barangan kawalan berjadual mencukupi bagi menghadapi bencana banjir.

Pengarahnya, Shaharuddin Mohd Kia berkata satu mesyuarat telah diadakan bersama pemborong utama berlesen bagi barangan kawalan di negeri ini yang bertujuan memastikan stok bekalan barangan kawalan sentiasa mencukupi pada musim itu.

“Semasa berbincang dengan pemborong-pemborong utama, mereka telah bersetuju untuk memastikan stok akan sentiasa mencukupi… Kalau kita lihat sekarang pun stok sedia ada dah mencukupi.

“Kita telah juga melantik pemborong-pemborong utama ini untuk menambah stok sebanyak 20 peratus daripada stok sedia ada bagi mengatasi masalah terputus bekalan semasa musim banjir,” katanya kepada pemberita selepas taklimat Pelan Kontigensi banjir KPDNKK Terengganu di sini pada rabu.

Katanya, sebanyak 41 pemborong utama minyak masak, 13 pemborong petrol dan diesel, 38 pemborong  gula, 36 pemborong tepung dan 20 pemborong gas petroleum cecair (LPG) akan membekalkan barangan kawalan di seluruh Terengganu pada musim banjir kelak.

Pelan kontigensi itu katanya bagi memudahkan membantu urusan pengagihan barangan keperluan oleh  agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kepada mangsa banjir.

Saharuddin turut mengingatkan kepada pemborong-pemborong utama dan peniaga-peniaga agar tidak menyorok atau menipu dengan menaikkan harga yang tidak sepatutnya semasa bencana banjir.

Katanya, KPDNKK tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada pihak yang mengambil kesempatan dan akan sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan perkara tersebut tidak berlaku ketika musim banjir kelak.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *