“Eh, bas ni ‘free’ ke?”, “Betul ke tak payah bayar? Tak percayalah.”, merupakan soalan yang sering diajukan kepada Rahiman Abdul Rahim.

Rahiman, 35, yang merupakan pemandu bas awam GO-KL berkata soalan sedemikian sudah ‘lali’ di telinganya sepanjang beliau mengendalikan pengangkutan awam percuma itu sejak empat tahun lalu.

“Setiap hari orang akan bertanya sama ada mereka perlu bayar atau tidak seperti bas henti-henti lain sedangkan mereka tak perlu keluarkan sesen pun wang.

“Lucunya, ada yang berasa was-was untuk naik bas ini kerana tak yakin sama ada ia benar-benar percuma atau tidak. Mungkin mereka tidak tahu bas percuma memang wujud di Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Namun, katanya, status GO-KL sebagai bas percuma tidak bermakna kualiti perkhidmatannya ‘biasa-biasa’ sahaja apabila bas ini dianggap sebagai bas awam paling selesa dan mesra pengguna di Malaysia, khususnya di ibu kota.

Katanya bas berwarna merah jambu yang beroperasi setiap hari bermula 6 pagi hingga 11 malam itu akan mengambil penumpang setiap lima minit dan jika jalan sesat, tempohnya menjadi 10 minit.

Rahiman berkata kebiasaannya, bas itu dinaiki individu yang bekerja di pejabat dan mahu mengelak daripada memandu di tengah kesesakan jalan raya.

“GO-KL juga popular dalam kalangan pelancong asing yang mahu bersiar-siar di Kuala Lumpur terutama pelancong dari Jepun dan Arab Saudi.

“Selalunya pelancong asing akan mencari pengangkutan awam yang mempunyai akses ke tempat yang ingin dituju dan sudah tentu mereka memilih perkhidmatan percuma, murah serta selesa dan GO-KL adalah pilihan tepat.

“Lagipun, laluan GO-KL kebanyakannya adalah kawasan tumpuan orang ramai antaranya Bukit Bintang, Muzium Negara, Menara Kuala Lumpur dan Pasar Seni,” katanya.

Rahiman berkata perkhidmatan itu juga mesra pengguna apabila turut dilengkapi skrin memaparkan nama destinasi yang dituju diiringi dengan pengumuman ketibaan destinasi menerusi sistem audio sekali gus membantu penumpang agar sentiasa peka dengan laluan semasa.

Katanya, bas berkenaan mempunyai ruang dalaman yang selesa dilengkapi bilangan tempat duduk yang mencukupi termasuk larangan makan dan minum di dalam bas serta kemudahan Wi-fi percuma.

“GO-KL juga mengutamakan keselesaan buat penumpang Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi sistem bunyi loceng khas serta ruang buat mereka.

“GO-KL turut mempunyai ciri keselamatan yang tinggi seperti kamera litar tertutup dan lantai bas yang lebih rendah bagi memudahkan orang ramai terutamanya warga emas dapat menaikinya.

“Untuk keselamatan pengguna juga, kami akan memberhentikan mereka di perhentian bas GO-KL sahaja. Ini penting kerana keselamatan penumpang adalah tanggungjawab kami,” katanya.

Dalam pada itu, Rahiman mengaku masih ramai warga kota yang tidak mengetahui kewujudan perkhidmatan bas percuma di tengah-tengah bandar raya ini.

“Oleh sebab itu, hebahan menerusi risalah berkenaan info laluan GO-KL sentiasa diberikan kepada orang ramai dan ada juga yang diletakkan di bangunan-bangunan seperti hotel, muzium dan sebagainya untuk rujukan,” katanya.

GO-KL adalah pengangkutan alternatif yang dikawal selia sepenuhnya oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi memudahkan pergerakan warga kota di sekitar Kuala Lumpur.

Perkhidmatan yang dilancarkan pada Jun 2012 ini pada awalnya bermula dengan dua laluan, iaitu laluan ‘Green’ dan ‘Purple’ yang antaranya, meliputi Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Bukit Bintang dan Pasar Seni.

Memahami kehendak masyarakat yang memerlukan perkhidmatan ini di kawasan lain, dua lagi laluan baharu ditambah pada 2014, iaitu laluan ‘Red’ dan ‘Blue yang merangkumi laluan seperti Medan Mara, Bukit Bintang, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan KL Sentral.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *