Share on FacebookDatuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kegagalan memanfaatkan sains, teknologi dan inovasi (STI) dalam melaksanakan mandat rakyat menyumbang kepada kegagalan sesebuah kerajaan, masyarakat dan bangsa.

Timbalan Perdana Menteri berkata, penyelesaian kepada hampir semua masalah bergantung kepada sains dan teknologi, bukannya politik.

Beliau berkata, walaupun bidang sains dan teknologi berkembang pesat, ramai yang gagal memanfaatkannya untuk memajukan bangsa, agama dan negara.

“Kita tidak berfikir secara saintifik. Kita malas berfikir dan kadang-kadang berhenti berfikir. Kita memisahkan sains daripada dasar kita. Kita menjauhkan teknologi sebagai instrumen terbaik memajukan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Ekspo Ekonomi Kreatif dan Inovasi Kebangsaan 2017 (NICE 2017) di Taman Teknologi Malaysia (TPM) di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Wilfred Madius Tangau.

Timbalan Perdana Menteri turut menandatangani plak pelancaran ‘Senior Scientist Network’, pertubuhan bukan kerajaan dibangunkan pesara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang bermatlamat terus menyumbang bakti dalam bidang STI.

Ahmad Zahid berkata, dalam usaha ke arah menjadi negara maju berpendapatan tinggi, membangunkan STI menjadi agenda penting dengan tumpuan menerokai pendekatan yang kreatif dan inovatif bagi memimpin Malaysia menghadapi cabaran ekonomi baharu.

Beliau berkata, penyelesaian kepada isu dan cabaran global masa depan banyak bergantung kepada kemajuan STI dan tahap penguasaan dalam bidang itu.

Katanya, antara cabaran perlu dihadapi ialah peningkatan penduduk dunia yang akan mengakibatkan peningkatan permintaan kepada sumber bekalan makanan, air bersih, keperluan perumahan dan pekerjaan.

“Keupayaan untuk memanfaatkan STI kritikal untuk mengatasi cabaran masa hadapan dan banyak permasalahan memerlukan teknologi sebagai jalan penyelesaian.

“Bagi memastikan negara berupaya mengarusperdanakan STI pada semua peringkat dan sektor, kita perlu mengambil kira aspek STI dalam setiap penggubalan dasar negara bagi memastikan STI dimanfaatkan sepenuhnya dalam setiap program yang dilaksanakan.

“Oleh itu, saya meminta semua kementerian mengambil tindakan sewajarnya berkaitan perkara ini. Saya juga difahamkan MOSTI sedang merangka Pelan Induk STI Negara dan Dasar STI menjangkau tempoh 10 tahun sehingga 2030,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri turut membangkitkan isu perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap perbelanjaan kasar R&D.

Katanya, walaupun perbelanjaan meningkat dari 1.26 peratus pada 2014 kepada 1.3 peratus pada 2015, ia masih rendah berbanding beberapa negara maju.

“Selain perbelanjaan R&D yang dibiayai kerajaan, pihak swasta juga perlu berusaha meningkatkan perbelanjaan menyokong aktiviti R&D,” katanya.

NICE 2017 ialah pameran sains, teknologi dan inovasi terbesar di Malaysia akan berlangsung selama lima hari bermula hari ini di TPM, Pusat Sains Negara dan Planetarium Negara.

Ia selaras dengan sasaran agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50) untuk menyemarakkan ekonomi kreatif dan inovasi dalam STI, di samping menggalakkan pembangunan Ekonomi Baru Negara.

NICE 2017 menjadi platform untuk mempamerkan program dan kegiatan berkaitan dengan STI. Pengisian program itu terbahagi kepada lima kluster utama iaitu teknologi, didik hibur, teknologi komunikasi maklumat, kesejahteraan dan pengetahuan.

Ekspo yang dijangka menarik kehadiran 500,000 pengunjung akan meneruskan kesinambungan kejayaan MOSTI dalam menyediakan platform untuk memacu kapasiti Malaysia dalam inovasi dan kreativiti berasaskan STI, di samping mempromosikan kelestarian dan daya saing dalam ruang yang sama.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *