Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat berikrar akan terus istiqamah dan ikhlas meneruskan perjuangan untuk memajukan agama dan negara.

Perdana menteri berkata pengalaman selama lebih 40 tahun berkecimpung dalam dunia politik dan kerajaan telah sedikit sebanyak mengajar beliau tentang hal ehwal pentadbiran.

Bagaimanapun, katanya, beliau juga berdepan pelbagai situasi getir, masalah dan kejadian-kejadian lain yang berlaku di luar kawalannya.

“Ramai orang berpandangan bahawa seorang perdana menteri itu berkuasa dan berpengetahuan atas segala perkara dalam negara ini.

“Hakikatnya, tidak. Kita perlu sedar bahawa banyak perkara berlaku memang di luar kawalan seorang perdana menteri, malah saya hanyalah seorang hamba Allah yang mempunyai kelemahan dan juga ilmu yang masih perlu saya pelajari,” katanya dalam rakaman audio ucapan perdana menteri mengenai pengalaman dalam politik dan kerajaan yang dimuat naik di laman blog www.najibrazak.com pada Jumaat.

Najib berkata beliau juga menerima banyak tohmahan daripada pihak-pihak yang mempunyai agenda peribadi dan menggunakan isu tertentu untuk mengaburi mata rakyat bagi meraih sokongan.

“… tetapi inilah asam garam politik. Walau bagaimanapun, saya tetap istiqamah, ikhlas meneruskan perjuangan untuk memajukan agama dan negara.

“Saya tidak ada niat lain daripada matlamat tersebut dalam perjuangan saya,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut melahirkan rasa syukur kerana disertai anggota Jemaah Menteri yang mampu menjalankan tugas dengan baik, dan membolehkan rakyat menjalani hidup harmoni.

“Pengalaman 40 tahun saya inilah yang membolehkan saya masih teguh berdiri bagi berkhidmat untuk negara dan menempuhi segala cabaran yang mendatang,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *