Meskipun bank-bank Islam global dijangka mencatatkan pertumbuhan pinjaman perlahan tahun ini berikutan persekitaran ekonomi lemah, industri tersebut mempunyai permodalan yang baik untuk mengharungi tempoh mencabar ini, kata seorang peserta pasaran.

Naib Pengerusi Agensi Peraturan dan Penyeliaan Perbankan Turki, Dr Yakup Asarkaya berkata penurunan nilai mata wang di pasaran sedang pesat membangun juga berpotensi menjejaskan pertumbuhan pinjaman bagi pemain serantau.

“Meskipun penurunan itu, kami tidak melihat ini akan menyebabkan sebarang masalah bagi agensi kawal selia kerana masih terdapat banyak modal dalam bank-bank Islam,” katanya kepada pemberita di luar acara seminar mengenai ‘Kewangan Islam dan Peraturan Global: Menggerakkan Sasaran dan Sempadan Baharu’ di sini, Selasa.

Seminar sehari itu yang dianjurkan oleh Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam  (IFSB), adalah bersempena dengan Mesyuarat Tahunan dan Acara-Acara Sampingan IFSB 2017 bermula hari ini sehingga 6 April.

 Yakup berkata sama seperti industri lain, bank-bank Islam juga menerima kesan negatif daripada penurunan harga komoditi dan pertumbuhan perlahan ekonomi China.

Dalam Laporan Kestabilan Industri Perkhidmatan Kewangan Islam 2016, IFSB berkata peningkatan kos operasi perbankan telah menjadi satu daripada faktor yang menyebabkan kemerosotan keuntungan bersih di beberapa negara Asia.

Negara-negara yang mencatatkan kenaikan dalam purata nisbah kos-kepada-pendapatan ialah Kuwait, Malaysia, Arab Saudi, Turki, Bangladesh, Indonesia dan Jordan.

Laporan itu merumuskan dengan menyatakan perbankan Islam dijangka kekal menjadi sektor dominan dalam Industri Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSI), menyumbang hampir 80 peratus daripada IFSI global.

Jumlah aset perbankan Islam di pasaran utama berkembang pada kadar pertumbuhan gabungan tahunan 15.4 peratus bagi tempoh 2008 sehingga 2014.

 

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *