KUALA TERENGGANU, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman menyifatkan Bajet 2018 adalah bajet yang sangat terperinci, realistik dan bertanggungjawab.

Beliau berkata, kerajaan negeri sangat gembira kerana penyediaan Bajet 2018 sangat terperinci dan menyeluruh, terutama memberi manfaat kepada golongan B40, berdasarkan lapan pe-tunjang yang digariskan.

“Kita berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana dua kelompok utama iaitu usahawan mikro, termasuk usahawan wanita dan kelompok kedua iaitu petani, nelayan, pesawah dan penoreh getah mendapat perhatian besar dalam bajet ini.

“Setengah bilion melalui Skim Pembiayaan Tekun Nasional (TEKUN) dan tambahan RM200 juta lagi kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) serta RM6.5 bilion untuk petani, nelayan, pesawah dan penoreh getah ini adalah luar biasa dan meningkatkan pembinaan daya kapasiti mereka untuk berdikari dan berjaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Razif berkata, kerajaan Terengganu juga berterima kasih di atas perancangan projek fizikal dan peruntukan oleh kerajaan Pusat untuk pelaksanaan projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), rumah MyBNHomes, Pusat Kardiologi dan Kardiotorasik di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri juga gembira apabila Perdana Menteri membuat huraian mengenai pelaksanaan pembangunan negara yang merujuk dan berasaskan kepada Maqasid Syariah.

“Ini sesuatu yang sangat besar ertinya,” katanya.

Beliau berkata, Najib berjaya mengurus ekonomi negara dengan baik sehingga mendapat pengiktirafan Bank Dunia dan agensi penarafan antarabangsa, walaupun berdepan pelbagai cabaran ekonomi dunia termasuk kejatuhan harga minyak.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *