KUALA LUMPUR, Bajet 2018 yang akan diumumkan 27 Oktober ini akan menyaksikan belanjawan paling efektif negara.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata tanpa langkah kenaikan cukai, kerajaan melihat strategi rasionalisasi perbelanjaan sebagai jalan terbaik bagi perbelanjaan 2018.

Sama ada peruntukan bajet 2018 akan lebih tinggi atau tidak berbanding tahun lalu, katanya, ia bergantung kepada pendapatan kerajaan termasuk kemungkinan menerima tambahan sekitar RM300 juta bagi setiap kenaikan AS$1 harga minyak mentah dunia.

“Rasionalisasi perbelanjaan ini bermaksud kita akan memastikan setiap duit yang dibelanjakan untuk kerajaan adalah paling efektif.

“Bahkan Perdana Menteri ada berpesan supaya saya merangka bajet yang cantik untuk pilihan raya,” katanya selepas majlis Forum Megatrends Khazanah 2017 (KMF 2017) di sini, hari ini.

Sementara itu, katanya, kerajaan sedang mengkaji beberapa pilihan dan alternatif untuk melaksanakan cukai digital kepada penyedia platform digital yang beroperasi di negara ini.

Bagi cukai digital itu, katanya, sasaran kerajaan adalah bagaimana untuk mengenakan cukai kepada penyedia platform digital terbabit dan bukannya kepada pengguna platform itu di negara ini.

“Ini adalah isu global, bahkan negara maju sekali pun berdepan dengan masalah untuk mengenakan cukai kepada penyedia platform, bahkan penyedia teknologi juga tidak dapat menyelesaikan isu ini,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *