MH Online

Laman Suara Rakyat

AS-Iran Perlu Ke Meja Rundingan

AS-Iran Perlu Ke Meja Rundingan

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam menggesa kepimpinan Iran untuk bersamanya di meja rundingan membincangkan isu menghentikan program nuklear Tehran.

Tambahnya, beliau tidak dapat menolak kemungkinan bakal berlakunya konfrontasi ketenteraan memandangkan ketegangan yang semakin meruncing di antara dua negara itu.

Pada satu sidang akhbar di Rumah Putih, Trump enggan menyatakan punca yang mendorongnya untuk mengerah kumpulan kapal pengangkut pesawat pejuang USS Abraham Lincoln ke rantau ini selepas menyifatkannya sebagai satu ancaman.

“Kami ada maklumat yang anda tidak mahu tahu. Mereka amat mengancam keamanan dan kita perlu bersedia dengan pasukan keselamatan yang mantap untuk negara ini dan juga negara lain.”

Trump yang mengundurkan Washington tahun lalu dari pakatan nuklear 2015 di antara enam kuasa dunia dan Iran, pernah menyatakan kesediaan untuk bertemu pemimpin Iran dan mengulanginya ketika bercakap kepada media.

Ditanya mengenai kenyataan Trump, Duta Iran ke AS, Majid Takht Ravanchi berkata negaranya masih dalam lingkungan rangka kerja pakatan nuklear dengan enam kuasa dunia termasuk AS.

“Tiba-tiba saja beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan meja rundingan. Apa jaminan yang dia tidak akan mungkir janji sekali lagi?” kata Takht kepada MSNBC.

Beliau turut menafikan dakwaan AS mengenai ancaman Iran sebagai maklumat perisikan palsu. – Reuters