Semua pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) diwajibkan melakukan pemeriksaan saringan kesihatan setahun sekali, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar akan diminta mengeluarkan pekeliling baharu yang mewajibkan anggota menjalani pemeriksaan kesihatan setahun sekali.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata arahan itu bagi memastikan kesihatan fizikal dan mental anggota serta pegawai berada pada tahap terbaik untuk menjalankan tugas kepada negara.

Pada masa sama, Ahmad Zahid turut menggalakkan anggota dan pegawai PDRM menjalani pemeriksaan kesihatan setiap enam bulan.

“Sebelum ini anggota dan pegawai hanya digalakkan menjalani pemeriksaan setahun sekali,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Subsidi dan Bantuan Saringan Kesihatan PDRM seluruh negara di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata pemeriksaan saringan kesihatan kepada anggota dan pegawai PDRM adalah percuma.

“Secara perbandingan polis diberikan kebertanggungjawaban bertugas 24 jam. Apabila tugas berat dilaksanakan ia memberi risiko kepada kesihatan fizikal dan kerohanian.

“Kedua-dua aspek ini harus diambil kepedulian oleh Bukit Aman, Kementerian Dalam Negeri secara keseluruhan. Akal yang sihat terletak pada badan yang sihat,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Eksekutif Saujana Binaraya Sdn Bhd Muhammad Faiz Abdullah yang menyediakan pemeriksaan kepada anggota unit beruniform itu berkata saringan kesihatan merupakan fasa pertama bagi rawatan awal melibatkan lebih 80 penyakit kronik dan kerosakan organ.

“Kita dapati perkara ini sangat penting kepada polis kerana mereka adalah barisan hadapan menjaga keamanan negara,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *