Penguatkuasaan Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) 2016 akan dilaksanakan secara berfasa.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata, pada fasa pertama, seksyen yang dikuatkuasakan melibatkan penubuhan Majlis PT&K dengan mengenalpasti bidang amalam untuk diiktiraf serta mengenalpasti badan pengamal yang ditetapkan dan kuasa menteri untuk membuat peraturan.

Menurutnya, fasa kedua pula melibatkan penetapan tarikh untuk penguatkuasaan seksyen yang melibatkan pendaftaran pengamal dalam bidang amalan yang diiktiraf.

“Manakala fasa terakhir pula ialah penguatkuasaan penuh akta tersebut,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ignatius Dorell Leiking (Warisan – Penampang) sama ada Kementerian Kesihatan Malaysia telah siap mendaftarkan pengamal perubatan tradisional di Sabah susulan Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 yang diluluskan tahun lalu.

Tambah Hilmi, Majlis PT&K telah ditubuhkan bagi mengawal selia perkhidmatan PT&K di Malaysia bagi mengadakan peruntukan bagi  perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

Katanya, Perintah Perubatan Tradisional dan Komplementari (Bidang Amalan Diiktiraf) 2017 telah diwartakan dan berkuatkuasa mulai 1 Ogos 2017.

Bidang amalan PT&K yang diiktiraf adalah termasuk perubatan tradisional Melayu, perubatan tradisional Cina, perubatan tradisional India, hemeopati, kiropraktik, osteopati dan amalan perubatan Islam.

“Sehingga kini, seksten Akta PT&K 2016 yang melibatkan pendaftaran pengamal masih belum dikuatkuasakan lagi. Jadi, belum ada pengamal yang berdaftar dengan Majlis PT&K lagi.

“Apabila proses pendaftaran dimulakan, tatacara yang berkaitan akan dimaklumkan oleh pihak Majlis PT&K. Kementerian dan juga Majlis PT&K peka dan prihatin berkenaan pengamal perubatan tradisional dan pribumi yang berada di semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *