Seorang lelaki warga Nigeria ditahan di sebuah kondomium di Cyberjaya kerana dipercayai terlibat dalam kes penipuan ‘African Scam’ membabitkan kerugian bernilai kira-kira RM3.6 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata suspek berusia 29 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 4 pagi.

“Suspek dipercayai bersama rakannya melakukan penipuan di negara ini.

Seorang rakannya dipercayai telah pulang ke Nigeria dan usaha sedang dibuat mengesan rakan-rakannya yang lain.

“Mereka dipercayai menggunakan laman sosial ‘Facebook’ palsu dan menyamar sebagai lelaki dari Amerika Syarikat untuk menjerat mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Acryl Sani berkata hasil siasatan awal mendapati suspek turut mengaku menipu enam wanita asing termasuk dari Jerman, Perancis, Malta dan Kanada.

Beliau berkata kes pertama melibatkan seorang warga Amerika Syarikat dan butiran mangsa itu sedang diperoleh.

“Wang dipindahkan dari Amerika Syarikat ke Australia sebelum dihantar semula kepada lapan bank tempatan di sini,” katanya.

Beliau berkata polis turut mengesan dua Internet Protokol (IP) melibatkan mangsa wanita tempatan yang dilaporkan di Simpang Ampat dan Kulai Jaya, dengan nilai kerugian hampir RM15,000.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat atau boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan, katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *