KOTA KINABALU, Kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) negara sebanyak enam peratus merupakan kadar paling rendah berbanding kadar GST yang dikenakan negara lain, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Malah, beliau berkata kerajaan terus prihatin dengan mengecualikan GST ke atas 578 barangan keperluan.

“Lazimnya, mereka (orang tengah) akan menaikkan harga barangan dan salahkan kerajaan kononnya harga naik disebabkan GST.

“Ini tak benar kerana GST telah kita laksanakan sejak dua tahun lalu, sepatutnya tidak ada kesan sama sekali (pada harga barangan),” katanya ketika melancarkan Karnival Jualan Sentuhan Rakyat dan Biz Far Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di sini.

Najib juga berkata hasil daripada GST telah membolehkan kerajaan memberi pelbagai bantuan dan insentif kepada rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Kita sediakan RM6.8 bilion untuk agihan BR1M tahun ini dan (daripada jumlah itu) di Sabah, RM561 juta untuk Sabah,” katanya, sambil menambah pengagihan BR1M turut membantu ekonomi negara berkembang.

Najib berkata kerajaan sentiasa prihatin dan mendengar nadi rakyat agar langkah penyelesaian dapat dilaksanakan bagi membantu dan memanfaatkan rakyat.

Pada majlis itu, Najib mengumumkan penganjuran karnival diadakan dua kali sebulan di setiap kawasan Parlimen di seluruh negara.

Beliau turut menambah RM5 juta lagi kepada peruntukan RM5 juta sedia ada bagi penganjuran karnival itu di seluruh negara.

Istimewa bersempena majlis pelancaran karnival itu, Najib mengumumkan penjualan barangan asas pada harga istimewa.

Antaranya, beras super 10 kg, yang dijual pada RM23.80 di pasaran dijual pada RM20 untuk 20 kg, ayam bulat segar pada RM5 seekor (RM8.50 sekilo harga pasaran) dan daging lembu segar pada RM15 sekilo (RM25 sekilo harga pasaran).

Najib juga menyerahkan zakat korporat SSM berjumlah RM200,000 dan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) SSM Prihatin sebanyak RM200,000 kepada Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.

Zakat korporat itu akan diagihkan kepada 1,000 orang asnaf, termasuk beberapa surau dan masjid di sekitar Sabah, manakala sumbang CSR itu pula akan diagihkan kepada 2,000 penduduk Sabah yang layak.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif SSM Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *