Share on Facebook

PONTIAN, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) menggariskan lima inisiatif baharu bagi meningkatkan sumber kekayaan baharu kepada 1,225 pengusaha tanaman nanas di seluruh negara yang dijangka mampu melonjakkan pengeluaran sebanyak 20 peratus tahun depan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata LPNM mengunjurkan pengeluaran nanas negara mencapai 437,930 tan metrik tahun depan dengan nilai pengeluaran RM636 juta.

“Impak lima inisiatif baharu yang digabungkan dengan tiga inisiatif sedia ada akan mendorong pertumbuhan pasaran nanas sebanyak 45 peratus dengan anggaran nilai eksport sebanyak RM200 juta tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Fiesta Nanas 60 Sempena Sambutan 60 Tahun LPNM di Pusat Perdagangan Bandar Baru Pontian di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi LPNM, Datuk Samsolbari Jamali dan Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Anim Hosnan.Ahmad Shabery berkata, dalam Bajet 2018, kerajaan memperuntukkan RM200 juta bagi inisiatif sumber kekayaan baru agro makanan yang mana RM30 juta untuk membangunkan industri nanas berbanding hanya RM14 juta pada tahun 2017.

Katanya, inisiatif itu adalah pembukaan lebih banyak tanah bagi tanaman nanas, menyediakan modal awal dan geran, melakukan kajian dan penyelidikan bagi menghasilkan benih lebih baik dan variati, pengeluaran produk hiliran dan pelaksanaan program bagi meningkatkan kesedaran pengguna.

“Inisiatif ini untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran nanas memandangkan kawasan baharu untuk penanaman adalah terhad, serta fokus kerajaan kepada tanaman nanas variati MD2,” katanya.

Pada masa sama, katanya kesemua inisiatif itu mengimbangi penawaran dan permintaan khususnya untuk pasaran ke China yang memerlukan 20 kontena seminggu dengan sehingga kini, hanya lapan kontena yang mampu disediakan.

Dengan program sumber kekayaan baharu itu, katanya, pendapatan pengusaha juga dijangka dilonjakkan kepada RM5,000 sebulan.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Shabery berkata, negara pada masa ini mengimport 100 juta kelapa bagi menampung permintaan pasaran tempatan dan dijangka bilangan itu meningkat pada masa depan.

Katanya, LPNM kini menggalas cabaran baharu dalam pengeluaran kelapa dan lembaga itu kini sedang mengenal pasti variati kelapa yang sesuai untuk dikembangkan tanamannya mulai tahun depan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *