CyberSecurity Malaysia mengesahkan wujud serangan penggodam yang menyerang beberapa laman web di negara ini, membocorkan maklumat sulit serta kemungkinan serangan Penafian Perkhidmatan Teragih (DDOS).

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab, berkata sebanyak 33 laman web Malaysia dirosakkan oleh penggodam.

Beliau yang tidak mendedahkan maklumat mengenai laman web yang digodam, berkata pihaknya sedang menyiasat dan memantau perkembangan terkini dengan kerjasama agensi lain untuk mengatasi serangan itu.

“Untuk langkah pencegahan, kami sudah mengeluarkan amaran bagi menasihatkan pentadbir sistem untuk mengambil langkah yang yang perlu untuk mengawasi sistem mereka bagi mengelakkan insiden tidak diingini serta ancaman sekuriti lain,” katanya dalam satu kenyataan pada selasa.

Satu nota makluman daripada Pasukan Bertindak Kecemasan Komputer Kerajaan (GCERT) tersebar di media sosial, memaklumkan mengenai pencerobohan laman web secara besar-besaran, DDOS dan kerosakan laman web Malaysia, dipercayai dilakukan penggodam Indonesia.

Nota makluman itu turut memaklumkan mengenai kemungkinan serangan itu berpunca daripada kesilapan cetakan bendera Indonesia terbalik semasa pembukaan Sukan SEA 2017.

GCERT tidak dapat dihubungi untuk mengesahkan kesahihan nota makluman itu.

Amirudin berkata, pihaknya turut menyarankan sekurang-kurangnya 11 langkah keselamatan bagi mencegah serangan siber terbabit.

Antara saranan itu adalah memastikan sistem, aplikasi dan perisian tambahan pihak ketiga dikemaskini, memperkukuh konfigurasi rangkaian, sistem operasi serta komponen aplikasi yang mungkin menjadi sasaran DDOS.

CyberSecurity turut menasihatkan pentadbir sistem mengemaskini anti virus, membuat salinan dokumen penting, melaksanakan penilaian kerentanan serta melaporkan sebarang insiden kepada pihak berkaitan.

Untuk melaporkan sebarang serangan siber kepada CyberSecurity, hubungi 1300-88-2999; +6019-2665850 atau emel pada [email protected].

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata pihaknya menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) tidak menerima sebarang laporan berhubung perkara berkenaan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *