Hanya 32,000 hektar daripada 134,513 hektar tanah rizab Orang Asli sudah diwarta dengan 1,800 orang diberikan geran persendirian.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata setakat September lalu, tanah seluas 74,629 hektar yang sudah diukur kementerian diserahkan kepada kerajaan negeri untuk diwartakan.

Katanya, tanah seluas 20,000 hektar lagi sudah diluluskan kerajaan negeri tapi belum diwartakan.

“Saya harap kerajaan negeri mempercepatkan proses kelulusan dan pewartaan tanah itu sebab proses mengukur sudah pun selesai awal tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Karnival Orang Asli 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KKLW, Datuk Borhan Dolah dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Mohd Jamalludin Kasbi.

Karnival itu yang buat pertama kali dianjurkan berlangsung mulai hari ini hingga Ahad di ruang legar PWTC.

Ismail Sabri berkata, beliau berpuas hati dengan kesungguhan beberapa negeri untuk menyelesaikan isu mewartakan tanah rizab Orang Asli.

Katanya, Kerajaan Negeri Perak dan Pahang begitu komited dengan mewujudkan pasukan tindakan khas untuk menyelesaikan tanah rizab Orang Asli, malah ada wakil JAKOA diletakkan di Jabatan Tanah dan Daerah untuk membantu mempercepatkan proses pemberian geran tanah.

“Setakat ini, 100 peratus tanah rizab Orang Asli di Negeri Sembilan sudah diwartakan kerana ia membabitkan keluasan yang sikit.

“Seperti di Perak dan Pahang, jumlah tanah rizabnya lebih luas dengan jumlah pemilik yang ramai, begitu juga di Kelantan dan Selangor, ” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Ismail Sabri berkata, hanya dua kampung Orang Asli tidak memberikan kerjasama untuk kementerian mengukur tanah mereka untuk diwartakan sebagai tanah rizab.

Katanya, dua kampung itu ‘termakan’ hasutan pembangkang dan aktivis masyarakat Orang Asli, yang menghasut supaya tidak membenarkan kerajaan mengukur tanah mereka.

“Kerajaan mengukur tanah rizab itu bagi membolehkan Orang Asli memiliki geran tanah supaya tidak timbul pertikaian jika ada pihak membuat tuntutan ke atas tanah berkenaan.

“Kerajaan bukan ada agenda lain. Kita mahu Orang Asli ada hak pada tanah mereka sendiri dan mana-mana pihak tidak sewenang-wenangnya memajukan tanah mereka. Itu saja.

“Saya pun tak faham kenapa pembangkang putar belit tuduh kerajaan hendak ambil tanah Orang Asli,” katanya, namun enggan mendedahkan nama dua kampung berkenaan.

Sementara itu, beliau menegaskan, kerajaan tidak pernah meminggirkan Orang Asli seperti digembar-gembur pembangkang.

Setakat ini, katanya, 80 peratus daripada 853 kampung Orang Asli yang berdaftar sudah mendapat kemudahan dan prasarana utama.

Beliau berkata, 84 peratus sudah mendapat jalan kampung; 80 peratus (bekalan elektrik); 79 peratus (bekalan air bersih) dan 82 peratus terbabit Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar.

Katanya, jika ada yang mendakwa terpinggir, ia adalah kampung serpihan membabitkan dua tiga rumah saja yang tidak berdaftar dengan KKLW.

Menyentuh mengenai pendidikan, katanya, lapan Orang Asli sedang mengikut pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) dengan keseluruhan 797 berada di universiti.

Beliau juga mengumumkan seramai lima pelajar Orang Asli mendapat keputusan 6A pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR); enam orang mendapat 5A; 3 pelajar mendapat 4A; 17 pelajar mendapat 3A; 39 pelajar memperoleh 2A dan 113 pelajar mendapat 1A.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *