Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengumumkan seramai 31 atlet dilarang daripada menyertai temasya di Rio de Jenario pada Ogos ini kerana melanggar peraturan anti doping selepas 454 sampel dari Beijing diuji semula.

Menurut IOC, seramai 31 atlet yang namanya tidak didedahkan itu membabitkan 12 negara dan enam acara sukan.

Badan pentadbir temasya itu berkata mereka turut menunggu keputusan 250 sampel yang diperiksa semula pada Sukan Olimpik London 2012.

“IOC memeriksa semula 454 sampel ujian doping dari Sukan Olimik Beijing 2008.  Proses tersebut dilakukan dengan kerjasama Agensi Anti Doping Dunia (WADA).

“Hasilnya seramai 31 atlet dari enam acara sukan dilarang daripada bertanding pada temasya itu. Lembaga Eksekutif IOC pada Isnin sebulat suara setuju memulakan prosiding dengan serta merta.

“Semua atlet yang melanggar peraturan anti doping tidak dibenarkan beraksi pada Sukan Olimpik Rio 2016.”

IOC turut memberikan reaksi balas terhadap dakwaan dalam akhbar New York Times bahawa Rusia menjalankan operasi doping secara meluas semasa Sukan Musim Sejuk Sochi 2014 yang melanggar integriti makmal anti-doping.

New York Times mendakwa sekurang-kurangnya 15 pemenang pingat adalah sebahagian daripada program doping yang dikendalikan dan dirancang dengan teliti selama beberapa tahun untuk memastikan mereka mendominasi temasya tersebut.

Namun, Rusia menafikan dakwaan itu dengan jurucakap Presiden Vladimir Putin menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas.

Presiden IOC, Thomas Bach berkata sampel semasa Sukan Olimpik Beijing dan London diuji semula selepas bimbang mengenai dakwaan ke atas proses anti doping di Sochi.

Malah, katanya, ia adalah sebahagian tindakan untuk memastikan semua atlet benar-benar bebas pengaruh dadah.

“Kami menyimpan sampel selama 10 tahun jadi mana-mana atlet yang menipu, mereka sudah tentu tidak akan terlepas,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *