PASIR PUTEH, Lebih 250 peserta menyertai kayuhan amal sejauh 40 kilometer untuk mengumpul dana bagi membantu kempen mempertahankan Baitulmuqaddis daripada dikuasai pelampau Yahudi di sini, hari ini.

Acara anjuran UMNO bahagian Pasir Puteh, Majlis Belia Jajahan Pasir Puteh dan Masjid Ibrahimi itu bermula dari perkarangan masjid berkenaan ke Balai Polis Cherang Ruku sebelum ke Masjid As-Syakirin serta Tok Bali dan kembali ke Masjid Ibrahimi.

Ketua UMNO bahagian Pasir Puteh Datuk Zawawi Othman berkata pihaknya berjaya mengumpul kira-kira RM15,000 hasil sumbangan peserta hari ini.

“Kami bercadang untuk mengumpulkan dana sebanyak RM20,000 bagi diserahkan kepada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dalam tempoh terdekat.

“Bagi mencapai sasaran itu, kami akan melancarkan kutipan derma pula selepas ini daripada pelbagai pihak,” kata Anggota Dewan Undangan Negeri Semerak itu, yang turut meluangkan masa kira-kira dua jam mengayuh basikal bersama peserta program tersebut.

Sementara itu, Imam Muda Masjid Ibrahimi Mohd Hanafiah Ab Aziz berkata pihaknya akan terus melancarkan kutipan derma daripada orang ramai termasuk peniaga dan anggota kariah masjid.

Sejak dilancarkan pada minggu lepas, Masjid Ibrahimi berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak RM2,150.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *