Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, isu berkaitan ekonomi, pelancongan, pendidikan, tenaga kerja dan teknologi ketenteraan adalah antara 10 perkara yang akan dibincangkan bersama para pemimpin India dalam lawatan kerja tiga hari beliau ke negara ini.

Ahmad Zahid berkata, lawatan sulung beliau sebagai timbalan perdana menteri Malaysia ke India yang bermula pada Ahad, menzahirkan komitmen serta hubungan diplomatik yang akrab antara Malaysia dan India yang terjalin sejak 1957.

“Lawatan ini bukan sahaja untuk memperkukuhkan hubungan diplomatik kita, tetapi turut melibatkan hubungan kerajaan dengan kerajaan, perniagaan dengan perniagaan dan rakyat dengan rakyat kedua-dua negara. Dari segi diplomasi, ia menunjukkan betapa seriusnya kita untuk mewujudkan situasi menang-menang dalam kedua-dua cara.

“Kedua-dua negara akan turut merayakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik pada tahun depan. Kebetulan pula, India akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-India ke-25 tahun depan,” katanya kepada media Malaysia di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut berkaitan pelancongan, Ahmad Zahid berkata, memandangkan Malaysia menerima kedatangan lebih 700,000 pelancong India setahun, Malaysia akan mempermudahkan pelaksanaan dan proses permohonan menerusi sistem e-visa yang akan dilancarkan secara rasmi di sini semasa lawatan beliau sejak sistem itu diperkenalkan di Malaysia pada April lepas.

Baru-baru ini, kerajaan Malaysia memperkenalkan ‘Electronic Travel Authorization Visa’ (e-visa) bagi lawatan singkat ke Malaysia dan ia sah bagi perjalanan sehala dengan tempoh tinggal maksimum 30 hari di Malaysia bagi tujuan pelancongan.

Berhubung tenaga kerja, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kerajaan menerima permohonan daripada peserta industri untuk meningkatkan jumlah pekerja terutamanya dalam sektor perkhidmatan dan pengeluaran.

“Isu ini sensitif. Justeru, lebih baik untuk kita memperincikannya sebelum kita mencapai serta memuktamadkan sebarang keputusan,” katanya, dan menambah, pada masa ini, terdapat 130,000 tenaga kerja India termasuk kalangan ekspatriat di Malaysia.

Menyentuh tentang sektor perdagangan, Ahmad Zahid berkata, India adalah rakan dagang Malaysia ke-10 terbesar dengan jumlah pelaburan bernilai US$1.77 bilion
(RM5 bilion) melibatkan pelbagai bidang termasuk infrastruktur dan khidmat awam.

Bagi pendidikan pula, Ahmad Zahid berkata, ketika ini terdapat sekurang-kurangnya 5,000 pelajar perubatan dan pergigian Malaysia di India.

Dalam teknologi ketenteraan pula, beliau berkata India menjalin kerjasama dan penyertaan yang kukuh dalam bidang pertahanan dengan Malaysia menerusi siri Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) serta Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA).

“Dalam lawatan ini, saya juga akan bertemu Menteri Industri Negeri Telengana yang ingin belajar daripada kita tentang kejayaan pembangunan yang dilaksanakan di Cyberjaya, Putrajaya dan bandar raya besar lain di Malaysia,” katanya.

Lawatan sulung Ahmad Zahid ini dianggap penting dalam usaha meningkatkan lagi kerjasama dua hala Malaysia-India dalam pelbagai bidang dan isu kepentingan bersama.

Timbalan perdana menteri dijangka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi untuk melakukan lawatan kerja dua hari ke Sri Lanka pada Khamis.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *