Anda di sini!
Utama > Sukan > Zainal Yakin Selangor Berpeluang Ke Pusingan Kedua

Zainal Yakin Selangor Berpeluang Ke Pusingan Kedua

Ketua jurulatih Selangor, Zainal Abidin Hassan yakin skuad Gergasi Merah masih berpeluang mara ke pusingan kedua saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia setelah menang ke atas Kelab Lt Sheikh Jamal Dhanmondi Ltd malam tadi.

Beliau berkata kemenangan 2-1 ke atas wakil Bangladesh itu pada aksi keempat Kumpulan E di Stadium Majlis Perbandaran Selayang mencerahkan semula peluang Selangor mengintai slot ke pusingan kedua.

“Tiga mata ini amat penting dan kita akan berusaha sehingga perlawanan terakhir kita. Kemenangan ini semestinya memberi semula peluang kepada kita untuk melayakkan diri ke pusingan kedua,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan berkenaan.

Zainal memuji semangat juang yang dipamerkan skuad Gergasi Merah kerana berjaya menyerap asakan bertali arus pasukan pelawat setelah Mohd Hafiz Kamal dilayangkan kad merah oleh pengadil kerana mengasari pemain lawan pada minit ke-57.

Patrick Ronaldinho Wleh muncul wira Selangor setelah menyumbat gol kemenangan pada minit ke-88.

Sebelum itu kedua-dua pasukan terikat 1-1 dengan Ahmad Hazwan Bakri meletakkan Selangor di hadapan pada minit ke-16 sebelum Landing Darboe menyamakan kedudukan untuk pasukan pelawat pada minit ke-35.

Sementara itu Patrick melahirkan rasa gembira dapat menyempurnakan gol kemenangan untuk Selangor walaupun menerima kritikan hebat daripada peminat Selangor ekoran prestasi beliau yang kurang memuaskan sejak akhir-akhir ini.

“Saya rasa kemenangan ini bagus untuk kami dan saya rasa gembira dapat membantu pasukan saya. Namun saya merasa tertekan bila peminat mahukan kami menjaringkan gol dalam setiap perlawanan,” kata pemain antarbangsa Liberia ini.

Ketua jurulatih Sheikh Jamal, Md Shafiqul Islam Manik memuji pemainnya yang membuat persembahan memberangsangkan menerusi penyertaan sulung mereka dalam kejohanan Piala AFC, walaupun gagal mara ke pusingan kedua.

Pasukan ini berada di tangga terbawah Kumpulan E tanpa memungut sebarang mata selepas kalah semua empat perlawanan dan gagal menempah tempat ke pusingan kedua.

“Saya berpuas hati dengan persembahan pemain saya yang rata-rata kekurangan pengalaman bermain di peringkat kelab Asia. Namun kami berharap akan menjadi lebih kuat untuk layak dalam kejohanan ini tahun depan,” katanya.

Leave a Reply

Top