Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Tindakan Jamal Tidak Direstui UMNO

Tindakan Jamal Tidak Direstui UMNO

Perbuatan Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, memecahkan botol minuman keras di depan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor semalam tidak direstui parti, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Kami tidak sokong perbuatannya. Beliau juga pengerusi sebuah NGO (badan bukan kerajaan). Ya, beliau seorang daripada ketua bahagian kami. Satu daripada 191 (bahagian), lagi 190 tidak pecahkan apa-apa,” kata Ahmad Zahid yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Pengerusi Gabungan Gerakan Merah Malaysia pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan ke-10, di sini, hari ini.

Media melaporkan Jamal dan tujuh lagi lelaki ditahan kira-kira 1.45 pagi tadi di sekitar Sekinchan, Sabak Bernam, Selangor, susulan tindakannya memecahkan botol arak semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi semalam, Jamal dan anggota gabungan itu membawa 10 kotak berisi kira-kira 100 botol minuman keras ke bangunan SUK, sebagai simbolik bantahan terhadap penganjuran sebarang pesta arak di negeri berkenaan.

Jamal kemudian bertindak memecahkan semua botol minuman keras itu di depan pintu masuk utama bangunan berkenaa.

Tindakan itu dibuat susulan kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilaporkan berkata penganjuran pesta makanan dan minuman Jerman termasuk arak yang dijadual berlangsung di sebuah pasar raya di Klang minggu depan boleh dibenarkan asalkan telah menepati syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh polis serta Majlis Perbandaran Klang.

One thought on “Tindakan Jamal Tidak Direstui UMNO

Leave a Reply

Top