Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Tiada ‘Brexit’ Di Sabah

Tiada ‘Brexit’ Di Sabah

KUALA LUMPUR, UMNO Sabah sama sekali tidak akan membiarkan mana-mana pihak cuba ‘brexit’ (keluarkan) negeri di bawah bayu itu dengan slogan ‘Sabah for Sabahan’ yang akhirnya akan menghancurkan Sabah sendiri.

Ketua Pemuda UMNO Tenom Jamawi Jaafar berkata ini kerana sebaik sahaja Sabah membentuk sebahagian daripada Malaysia 54 tahun yang lalu, kedaulatan negeri itu sudah pun terjamin di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

Justeru, katanya, tiada keperluan negeri yang memiliki lebih 35 suku kaum itu untuk keluar dari Malaysia, hanya kerana terdapat sekumpulan individu dan pihak tertentu yang cuba membangkitkan pelbagai isu lapuk dan disebut ‘bangas’ (basi) oleh kebanyakan rakyat Sabah.

“Ketika ini memang kita tidak nafikan wujud anasir dan dakyah secara halus dan terang-terangan yang dibawa golongan tertentu untuk menyemarakkan kebencian kepada kerajaan Persekutuan, sebab itu ia perlu dibanteras mengikut undang-undang kerana anasir ini boleh bergerak lebih laju dengan bantuan Internet,” dipetik sebagai berkata.

Brexit merujuk kepada langkah rakyat Britain keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) melalui keputusan pungutan suara dengan andaian bahawa jika bersendirian, ekonomi Britain akan lebih kukuh dan stabil.

Malam tadi, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan perasmian ketiga-tiga sayap UMNO, memberi amaran kepada puak-puak tertentu di negeri itu yang cuba menjadi batu api dan penghasut bagi mengeluarkan Sabah dan Sarawak dari Malaysia.

Ahmad Zahid berkata penghasut sedemikian boleh dihukum dengan hukuman yang berat dan mereka tidak kebal undang-undang.

Jamawi yang juga Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berkata antara isu ‘bangas’ yang sering dibangkitkan ialah royalti minyak untuk Sabah serta hasil bumi yang dibawa keluar dari negeri itu, kononnya digunakan untuk memajukan Semenanjung.

 

Leave a Reply

Top