Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Tanah Bencah Destinasi Ekopelancongan Terengganu

Tanah Bencah Destinasi Ekopelancongan Terengganu

SETIU, Pemilihan Tanah Bencah Setiu sebagai lokasi untuk Petroliam Nasional Bhd (Petronas) melakukan pelbagai program Pelaburan Sosial Korporat (CSI) adalah kerana kawasan itu menepati ketiga-tiga elemen utama yang menjadi fokus syarikat itu selama ini.

Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Wan Mohd Hasnan Abdullah berkata tiga elemen utama tersebut ialah pemuliharaan alam sekitar, pembangunan komuniti dan pendidikan untuk masyarakat di kawasan sekitar.

“Ketiga-tiga elemen itu terdapat di Tanah Bencah Setiu ini dan kami tidak hanya melaksanakan projek pembangunan infrastruktur malah kami juga serius dalam pembangunan modal insan komuniti di sini agar mereka turut bergerak seiring dengan kemajuan yang bakal terlakar di sini sebagai destinasi ekopelancongan kebanggaan Terengganu.

“Penglibatan kami di sini juga adalah untuk bersama-sama dengan kerajaan negeri yang telah mewartakan Tanah Bencah Setiu sebagai Taman Negeri bertujuan melindungan ekosistem dan kepelbagaian bio di kawasan seluas 432 hektar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sesi taklimat dan lawatan media ke Tanah Bencah Setiu di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Wan Mohd Hasnan berkata kebiasaannya Petronas akan menganjurkan program Tangggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan CSI di sekitar kawasan operasi Petronas di daerah Dungun dan Kemaman sahaja sebelum ini.

“Namun, sejak lima tahun kebelakangan ini, kami sudah memperluaskan program CSR ke daerah lain iaitu di Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan di Setiu di mana pada tahun 2015, kami dijemput berunding oleh kerajaan negeri untuk bersama-sama membincangkan pelan pembangunan di Tanah Bencah Setiu sebagai destinasi eko pelancongan terbaharu di Terengganu.

Melalui perbincangan itu, Petronas telah meluluskan peruntukan sebanyak RM8 juta untuk projek pembangunan infrastruktur dan pembangunan modal insan di Setiu Wetlands (Tanah Bencah Setiu),” katanya.

Daripada jumlah itu, RM6 juta diperuntukkan bagi projek naik taraf dan pembinaan fasiliti baharu iaitu membina pusat penerangan di Kampung Mangkuk, membina empat jeti terapung, naik taraf Setiu Broadwalk sepanjang 1.1 kilometer, naik taraf jeti pelancongan di Kampung Mangkuk dan naik taraf jeti nelayan di Kampung Gong Batu.

Selain itu, peruntukan RM2 juta lagi akan digunakan untuk menjalankan pelbagai kursus kemahiran dan keusahawanan untuk komuniti di Tanah Bencah Setiu sebagai usaha Petronas memastikan mereka dapat menjana ekonomi tambahan hasil pembangunan rancak dari segi aspek pelancongan di kawasan itu.

Wan Hasnan berkata antara kursus yang dirancang ialah kemahiran berbahasa Inggeris untuk golongan renjer Setiu, kursus untuk pengusaha inap desa dan penjenamaan produk kraftangan keluaran komuniti setempat.

“Ia adalah kawasan eko pelancongan yang sangat menarik selepas Tasik Kenyir dan rangkaian pulau-pulau peranginan di Terengganu.

Keistimewaan Tanah Bencah Setiu ialah penglibatan komuniti di sekitar kawasan itu yang mempunyai banyak ilmu pengetahuan memandangkan mereka berinteraksi secara langsung dengan alam sekitar di kawasan itu…sudah pasti Petronas mahu melakarkan nama sebagai antara pihak yang menyumbang kepada kelestarian pembangunan kawasan ini secara berterusan,” katanya.

Keunikan Tanah Bencah Setiu ialah ia satu-satunya kawasan di Malaysia yang memiliki sembilan ekosistem yang saling berhubung iaitu pesisir pantai, muara sungai, paya bakau, dataran berlumpur, laguna, sungai, kerangas, paya gelam dan tasik air tawar.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Jarina Mohd Jani yang turut hadir dalam taklimat itu berkata berdasarkan rekod penemuan UMT, terdapat 29 spesies mamalia, 161 spesies burung, 32 spesies ikan (air tawar dan air laut) serta 36 spesies reptilia dan amfibia di kawasan itu setakat ini.

“Kami berharap agar UMT terus diberi peluang untuk meneroka pelbagai rahsia alam yang masih tersembunyi di kawasan ini kerana kami yakin masih banyak keistimewaannya yang belum lagi kita ketahui dan ianya adalah satu proses yang panjang.

“Baru-baru ini, penyelidik UMT telah menemui satu spesies yang sangat terancam iaitu pokok bakau berus mata buaya di mana hanya terdapat empat pokok ditemui di kawasan ini setakat ini.

Selain itu, terdapat juga pokok bakau kepala beruk yang terbukti mempunyai kesan positif dalam pengubatan penyakit kanser…sebab itu, kami berharap agar pembangunan di kawasan ini dilakukan dengan berhati-hati agar khazanah berharganya tidak musnah demi masa depan generasi kita akan datang,” katanya.

Leave a Reply

Top