Anda di sini!
Utama > Hiburan > Serik Kontroversi, Tasha Shilla Enggan Kongsi Kisah Peribadi

Serik Kontroversi, Tasha Shilla Enggan Kongsi Kisah Peribadi

Pelakon Tasha Shilla mengambil pendekatan untuk tidak lagi berkongsi hal peribadinya kepada umum selepas kisah cintanya dengan Hans Wong dilanda kontroversi pada tahun lalu.

Tasha atau nama sebenarnya Natasha Sheila Abd. Razak, 29, berkata, kejadian sebelum ini banyak mengajarnya agar tidak terlalu terbuka soal peribadi dan dia mahu   memberi fokus dalam menstabilkan karier seninya pada tahun ini.

“Tiada lagi cerita-cerita peribadi dan tahun ini saya mahu fokus kepada karier sahaja memandangkan tahun lalu saya banyak menolak tawaran berlakon.

“Apa yang berlaku sebelum ini biarlah ia menjadi sejarah dan tidak perlu dikenang lagi.

“Saya kini lebih matang dan banyak belajar tentang kehidupan jadi tahun ini dengan semangat dan azam baru saya ingin memperkukuhkan karier seni dan tidak mahu berfikir soal lain,” katanya .


Tasha berkata demikian ketika ditemui pada sidang media program Gempak Superstar di sini, Selasa.

Program yang menampilkan 10 pelakon terkenal itu bakal menyaksikan mereka menyahut cabaran sebagai penyanyi.

Selain Tasha, ia turut disertai oleh Raja Ilya, Izreen Azminda, Sherry Ibrahim dan Siti Elizad.

Manakala peserta lelaki adalah Nazim Othman, Sofi Jikan, Ryzal Jaafar, Dazrin Kamarudin dan Arja Lee.

Gempak Superstar akan bersiaran bermula 10 April depan pada setiap hari Ahad, pukul 9 malam di Astro Ria dan Ria HD.

Dalam pada itu, Tasha berkata, selepas kegagalan dalam percintaan sebelum ini dia masih belum terfikir untuk mencari pengganti dan lebih selesa dengan kehidupan solo.

Jelas Tasha, dia lebih berhati-hati dalam soal hati dan perasaan kerana enggan kejadian serupa berulang kembali selepas ini.

“Jika diikutkan saya sudah bersedia untuk berkahwin tetapi buat masa ini tiada calon dan saya lebih selesa solo selain memberi fokus kepada karier seni.

“Saya kena lebih berhati-hati kerana pengalaman sebelum ini banyak mengajar saya agar tidak mudah terpedaya dengan lelaki,” jelasnya.

Sementara itu, bercakap mengenai penglibatannya dalam Gempak Superstar, Tasha berkata, dia gemar menyanyi dan melihat platform program berkenaan untuk mencabar dirinya.

Malah kata Tasha, dia sudah bersedia dengan kritikan penonton dan berharap akan menimba lebih banyak ilmu tentang dunia nyanyian menerusi pertandingan itu.

Leave a Reply

Top