Anda di sini!
Utama > Luar Negara > Semua Negara Perlu Kongsi Maklumat Penyalahgunaan Senjata Nuklear – TPM

Semua Negara Perlu Kongsi Maklumat Penyalahgunaan Senjata Nuklear – TPM

Semua negara, tanpa mengira sama ada menganggotai Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), perlu berkongsi maklumat mengenai penyalahgunaan senjata nuklear, bahan-bahan radiologi dan senjata biokimia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata ini adalah antara yang dipersetujui oleh 53 negara yang menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear (NSS) keempat yang berakhir di sini Jumaat.

Persidangan hari ini dipengerusikan oleh Presiden Amerika Syarikat Barack Obama yang mempelopori usaha memastikan keselamatan nuklear.

Ahmad Zahid berkata dengan adanya perkongsian maklumat, ia dapat menyekat penggunaan senjata dan bahan-bahan nuklear oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk melakukan kemusnahan besar-besaran.

“Kebimbangan ini timbul apabila terdapat maklumat mengenai bahan radiologi yang dicuri dan dijual di pasaran gelap,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas menghadiri sidang pleno NSS di Pusat Konvensyen Walter E Washington di sini Jumaat.

Sidang kemuncak NSS selama dua hari itu disertai 53 negara dan empat organisasi antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan Organisasi Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol).

Terdahulu pada sidang pleno itu, Ahmad Zahid berkata perlu gandakan usaha ke arah mencapai matlamat bagi pelucutan senjata pemusnah besar-besaran, khususnya senjata nuklear, secara umum dan sepenuhnya.

Beliau berkata walaupun NSS telah meningkatkan usaha untuk mengetengahkan isu keselamatan nuklear, proses pelucutan senjata nuklear juga perlu dipercepatkan kerana senjata nuklear terus menjadi satu daripada ancaman terbesar kepada manusia.

“Kita juga perlu memantapkan kapasiti untuk memastikan kawalan efektif dan melaksanakan tindakan lebih awal untuk memastikan keselamatan nuklear,” katanya.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kerjasama juga perlu dipertingkatkan dalam pembinaan kapasiti serta berkongsi maklumat, risikan semasa dan menguna pakai amalan terbaik dalam usaha bersama untuk memastikan bahan-bahan nuklear tidak jatuh ke pihak tidak bertanggungjawab seperti aktor tanpa negara dan organisasi pengganas.

Beliau berkata Malaysia, sebagai negara pihak dalam Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) dan negara anggota IAEA, telah mengambil pelbagai langkah dan komited sepenuhnya dalam menyokong usaha-usaha untuk mencapai keselamatan nuklear global.

Katanya antara langkah yang telah diambil adalah “memuktamadkan undang-unadng domestik bagi ratifikasi, dalam tahun ini, bagi Konvensyen Perlindungan Fizikal Bahan Nuklear dan pindaannya, Konvensyen Antarabangsa Bagi Membanteras Perbuatan Keganasan Nuklear dan protokol tambahan IAEA.”

Ahmad Zahid berkata Malaysia juga telah menubuhkan makmal pengesanan keselamatan nuklear yang menumpukan pada penyenggaraan dan konfigurasi alat pengesanan radiasi di bawah Pusat Sokongan Keselamatan Nuklear Malaysia dengan kerjasama IAEA, yang diluluskan pada Februari lepas.

Ia juga telah memasang alat pengesanan radiasi di semua pintu masuk dan keluar di Malaysia, katanya.

Leave a Reply

Top