Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Sempena Hari Malaysia Umno Kuantan Agih Petrol Percuma

Sempena Hari Malaysia Umno Kuantan Agih Petrol Percuma

UMNO Bahagian Kuantan mencipta kelainan dengan memberikan petrol percuma kepada kira-kira 1,000 pengguna motosikal sempena sambutan Hari Malaysia hari ini.

Program hasil idea Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kuantan itu adalah simbolik kepada tanda penghargaan terhadap nikmat keamanan dan keharmonian dikecapi negara ini.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Seri Abdul Hamid Nazahar berkata, program julung kali diadakan itu adalah sebahagian cara UMNO Bahagian Kuantan mendekati penduduk pinggir bandar di sekitar bandar ini.

“Pada mulanya, ada antara kami yang bercadang mengadakan program ini di pusat bandar Kuantan… namun, selepas kami berbincang, kami ambil kata putus untuk mengadakan program pemberian minyak percuma di Kampung Sungai Soi, kerana ia lebih dekat dengan mereka yang berpendapatan sederhana atau rendah.

“Sambutan diterima juga baik dan kami merancang untuk mengadakan program seumpama ini lebih kerap di kawasan berlainan tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Pemberian Minyak Petrol Percuma Anjuran Pemuda UMNO Bahagian Kuantan di stesen minyak PETRONAS Sungai Soi, di sini, sebentar tadi.

Turut hadir Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Nara Nikman Nordin.  Abdul Hamid berkata, selain program pemberian minyak petrol percuma, UMNO Bahagian Kuantan turut mengadakan pelbagai program turun padang sejak awal tahun ini.

Katanya, semua program dianjurkan adalah membabitkan perancangan sepanjang tahun dan tidak bermusim atau mempunyai kaitan dengan pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Leave a Reply

Top