Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > ‘Saya Sangat Sedih’

‘Saya Sangat Sedih’

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mempunyai kenangan sendiri bersama pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat Hujung, yang terbakar pagi tadi.

Katanya, apabila mengimbau kenangan berbuka puasa bersama pelajar pusat tahfiz itu pada Ramadan lalu, beliau menangis lebih-lebih lagi apabila terkenangkan mangsa dalam kejadian itu yang mengorbankan 21 pelajar dan dua tenaga pengajar.

Beliau berkata, mereka berkesempatan untuk sembahyang Maghrib bersama dan berpeluang bermesra dengan semua pelajar berkenaan.

“Hari ini saya berasa sangat sedih selepas menerima perkhabaran mengenai kejadian kebakaran yang menimpa pusat tahfiz ini sehingga mengorbankan 21 pelajar dan dua tenaga pengajar.

“Saya masih menangis sehingga sekarang. Terutama tengok gambar budak yang saya riba (pada majlis berbuka puasa lalu),” katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, sewaktu melawat ibu bapa dan keluarga mangsa di Hospital Kuala Lumpur siang tadi, seorang ibu berkongsi cerita kegembiraan anaknya yang berpeluang berbuka puasa dengan beliau.

“Ibu berkenaan berkata kepada saya, Datuk Seri, selepas majlis berbuka puasa itu, anak saya telefon beritahu, ‘Sedap kami makan di majlis berbuka dengan Datuk Ismail Sabri. Sedap-sedap lauknya emak’,” katanya.

Leave a Reply

Top