KOTA KINABALU, Lebih 30,000 pengunjung dijangka memeriahkan sambutan Hari Malaysia 2017 yang berlangsung di pekarangan Kompleks Sukan Likas, di sini, mulai 15 sehingga 17 September ini.

Acara kemuncak akan diadakan pada sebelah malam 16 September yang bakal dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Turut dijadual hadir memeriahkan majlis ialah Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah merangkap Setiausaha Jawatankuasa Sambutan Hari Malaysia 2017, Datu Rusmadi Datu Sulai, berkata pelbagai kegiatan menarik akan diadakan bagi memeriahkan sambutan tahun ini.

Beliau berkata, antara pembaharuan tahun ini ialah Karnival Hari Malaysia, pameran Malaysia Inklusif Negara Digital (MINDA) dan konsert selama tiga malam.

“Antara artis yang akan membuat persembahan ialah Dayang Nurfaizah, Tajul, Hafiz Suip, Wany Hasrita dan Siti Nordiana.

“Selain orang awam, seramai 1,500 belia turut terbabit dalam pelbagai persembahan istimewa yang dibahagikan kepada beberapa segmen,” katanya ketika sidang media sambutan Hari Malaysia 2017, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Penerangan Sabah, Suwady Guliling; Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Rakman, Ketua Pegawai Operasi Sekretariat Merdeka Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Rozilah Katan dan Penolong Pengurus TM Bhd Sabah, Datuk Zainal Mohd Amin

Dalam pada itu, Datu Rusmadi turut manasihatkan orang awam yang mahu ke lokasi sambutan supaya merancang perjalanan agar tidak terperangkap dalam kesesakan jalan raya berikutan penutupan beberapa jalan utama secara berkala.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *