Share on Facebook

KOTA TINGGI, Satu daripada tiga projek pembangunan dalam Bio Desaru, di sini, yang dilaporkan tidak aktif, telah ditamatkan kontraknya oleh kerajaan negeri.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata projek itu melibatkan ternakan ayam seluas 120 hektar (300 ekar) di bawah kendalian sebuah syarikat Arab Saudi.

“Kontrak ditamatkan kerana syarikat tidak dapat memenuhi syarat bio-keselamatan yang ditetapkan. Dua lagi (projek) pula berada dalam proses untuk mengubahsuai dan mengecilkan keluasan tanah projek. Ia membabitkan projek ternakan udang dan ikan masing-masing seluas 1,000 dan 800 ekar,” katanya.

Mohamed Khaled berkata demikian ketika mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri Dua yang dikeluarkan baru-baru ini.

Dalam laporan itu, tiga projek berkenaan yang seluas 2,100 ekar disebut sebagai tidak aktif kerana mencapai kemajuan bawah 60 peratus daripada jumlah sebenar kawasan yang telah dipersetujui, walaupun kontrak telah ditandatangani antara 2007 dan 2014.

Bio Desaru yang merupakan sebuah lembah makanan organik seluas 8,912.5 ekar di Mukim Sedili Kechil dan Mukim Pantai Timur, di sini, dibangunkan oleh Bio Desaru Sdn Bhd (BDSB).

BDSB pula merupakan anak syarikat JBiotech Holdings Sdn Bhd (JBH) yang dimiliki sepenuhnya oleh Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Johor (J-Biotech).

Terdahulu, Mohamed Khaled ditemui pemberita pada majlis Pertukaran Perjanjian Bersama Pelabur Bio Desaru, Pameran Program Pembangunan Bioekonomi Komuniti serta Pelancaran Projek Perintis Tanaman dan Pemprosesan Huluan Kenaf, Perasmian Pusat Lembu Tenusu Holstein Desaru dan Desaru Cheese di Bio Desaru, hari ini.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *