KUCHING, Peruntukan sebanyak RM4.9 bilion untuk Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Malaysia dalam Bajet 2018 membuktikan keseriusan kerajaan dalam melahirkan lebih ramai belia berkemahiran.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata peruntukan itu juga selaras dengan visi dan misi kerajaan mahu melahirkan 60 peratus tenaga kerja berkelulusan teknikal dan vokasional peringkat diploma.

“Bayangkan beberapa tahun akan datang, tenaga kerja berkemahiran TVET adalah satu keperluan untuk Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Pertandingan Worldskills Malaysia Sarawak 2017 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.

Majlis penutup itu disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Mengulas mengenai pertandingan tersebut, Riot berharap program yang julung kali diadakan di Sarawak itu dapat melahirkan wakil negara tempatan ke pertandingan peringkat antarabangsa dan serantau.

“Pertandingan Worldskills Asean akan diadakan di Bangkok, Thailand 2018 manakala Wordskills Dunia di Kazan, Rusia 2019. Saya harap pertandingan ini dapat melahirkan belia Sarawak bagi mewakili Malaysia di kedua-dua pertandingan tersebut nanti,” katanya.

Pertandingan itu yang bermula pada 19 Ogos hingga 24 Sept bagi peringkat pra-kelayakan dan peringkat akhir pada 25 Okt hingga hari ini, disertai oleh 209 belia dari seluruh negeri.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *