Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > RM10 Juta Bantu Rakhine

RM10 Juta Bantu Rakhine

Malaysia akan menyumbang RM10 juta untuk membantu usaha kemanusiaan dan projek pemulihan sosial di Rakhine, Myanmar, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata, dana itu akan digunakan untuk membina infrastruktur seperti institusi pendidikan dan perubatan, menyumbang kepada pembangunan di sana dan membaiki kualiti hidup penduduknya.

“Malaysia juga akan terus mengghulurkan sokongan terhadap pembangunan sumber manusia melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).

“Buat masa ini, Myanmar ialah penerima terbesar MTCP dalam kalangan negara Asean, dan inisiatif pembinaan kapasiti yang disediakan adalah sebahagian penting usaha untuk penyelesaian jangka panjang yang berdaya maju.

“Saya menggalakkan dan menyambut baik apa jua ikrar bantuan daripada negara-negara anggota,” katanya semasa menyampaikan ucaptama pada sesi khas Majlis Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengenai Situasi Minoriti Islam Rohingya di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Setiausaha Agung OIC Yousef Ahmed Al-Othaimeen, adalah antara yang menghadiri sesi itu.

Beliau berkata bantuan di Myanmar tidak terhad kepada orang Islam sahaja tetapi untuk semua yang memerlukan di kawasan-kawasan yang terjejas.

Najib menarik perhatian bahawa sejak beberapa tahun kebelakangan ini Malaysia berada di barisan hadapan sebagai negara yang telah menempatkan kira-kira 56,000 pelarian Rohingya lelaki, wanita dan kanak-kanak yang meninggalkan Rakhine.

Beliau berkata Malaysia bersedia untuk memikul tanggungjawab kewangan dan sosial menyediakan tempat perlindungan dan keperluan asas kepada etnik Rohingya ini.

“Dari segi moralnya ini sesuatu yang patut dilakukan. Bagaimanapun hakikat bahawa mereka terpaksa melarikan merupakan pendakwaan tragik keadaan yang dihadapi mereka dalam negara,” katanya dan merujuk kepada kebimbangan Malaysia akan kemungkinan etnik Rohingya ini terdedah menjadi mangsa perdagangan manusia serta penyusupan elemen militan dalam kalangan mereka.

Perdana menteri turut menggesa negara-negara anggota OIC supaya mengakui bahawa adalah menjadi tanggungjawab mereka bersama untuk membantu “saudara kita di Rakhine” atas nama dan semangat perpaduan Islam.

Beliau menarik perhatian bahawa adalah menjadi tanggungjawab negara-negara anggota OIC supaya melakukan sedaya mampu untuk menyelamatkan etnik Rohingya ini daripada tragedi kemanusiaan yang dideritai mereka dengan membantu menyediakan mereka suatu masa depan yang selamat, berkekalan dan mempunyai ciri-ciri maruah diri, yang merupakan hak setiap manusia yang dilahirkan.

Menyentuh bagaimana untuk membela nasib mereka, Najib menggesa kerajaan Myanmar supaya menghentikan pembunuhan, pencabulan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan, penganiayaan dan penafian hak asasi yang berlaku.

“Saya meminta sahabat kita di Myanmar: Buktikan sekali lagi kehebatan tradisi dan sejarah anda. Bertindaklah menyamai kata-kata bapa kemerdekaan anda Jeneral Aung San, yang disampaikan pada 1946.

“Kini di seluruh dunia, kita tidak boleh mengehadkan definisi kewarganegaraan kepada makna sempit yang mengikat bangsa, agama dan lain-lain. Negara-negara memperluaskan hak komuniti masing-masing malahan kepada orang lain yang mungkin bukan terdiri daripada golongan mereka, tetapi dari segi keberadaan mereka dalam kalangan mereka ini, dan kesungguhan mereka untuk berada dan hidup bersama-sama,” katanya.

Najib berkata punca utama masalah ini harus ditangani segera dan secara keseluruhannya, atas tujuan untuk mencari penyelesaian yang menguntungkan, dari segi jangka panjang dan menyeluruh bagi semua pihak yang terlibat.

“Kami menggesa kerajaan Myanmar supaya menghentikan segera semua tindakan diskriminasi dan serangan terhadap etnik Rohingya dan membawa pelakunya ke muka pengadilan,” katanya.

Beliau menekankan bahawa ASEAN mempunyai hak untuk membangkitkan isu ini dan gembira perkara ini diiktiraf oleh Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN di Yangon bulan lepas.

“Situasi sekarang mencemari ASEAN sendiri dan Komuniti yang kita isytiharkan pembentukannya pada akhir tahun 2015, di bawah kepengerusian Malaysia. Kita dalam ASEAN harus berpegang kepada tujuan pembentukan Komuniti itu – jika tidak, ia akan hanya menjadi sebuah Komuniti pada nama sahaja, memalukan mereka yang punya visi bersama mengasaskan ASEAN 50 tahun dahulu.

“Kita mengecewakan mereka jika kita tidak melakukan sedaya upaya untuk mencegah malapetaka yang berlaku terhadap etnik Rohingya ini,” katanya.

Menyentuh hubungan baik Malaysia-Myanmar, Najib berkata Kuala Lumpur selama ini sentiasa menyokong Yangon, dan memperjuangkan kemasukan negara itu ke dalam ASEAN serta menolak usaha untuk menghukum dan mengasingkan Myanmar.

Perdana menteri berkata Malaysia mengiktiraf Myanmar sebagai rakan penting dan signifikan yang tidak boleh diketepikan dalam rantau ini dan “Malaysia sentiasa merupakan rakan akrab Myanmar.”

“Kita mengiktiraf ciri-ciri unik yang dimilikinya – rakyatnya, sumber asli serta lokasinya yang strategik. Antara negara anggota ASEAN, ia satu-satunya yang berkongsi sempadan dengan China dan India.

“Sama juga pentingnya, kita mengiktiraf dan memperakui jati diri dan komitmen rakyat Myanmar yang membolehkan mereka melepaskan diri daripada belenggu pemerintahan diktator dalam cara aman, sederhana dan matang,” katanya.

Menurut pelbagai laporan, krisis yang berlaku di Rakhine telah menyebabkan beribu-ribu etnik Rohingya lari meninggalkan Myanmar setelah berdepan dengan kekejaman termasuk rogol dan bunuh, yang dinafikan oleh kerajaan Myanmar.

Mesyuarat Kuala Lumpur ini dijangka akan mengeluarkan dua dokumen – resolusi dan pernyataan bersama sebagai menunjukkan pendirian bersepadu mereka berhubung isu ini.

Leave a Reply

Top