LONDON, Rakyat Malaysia yang berhijrah ke luar negara mampu menyumbang kepada negara terutama sebagai ejen rangkaian teknologi dan mewujudkan perniagaan baharu.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata beliau yakin dengan kredibiliti golongan profesional yang berhijrah kerana golongan itu masih tetap sayangkan tanah air.

Justeru, katanya, pihak kerajaan sentiasa akan berhubung dan bekerjasama dengan mereka untuk membantu mereka memberikan yang terbaik kepada negara.

“Mereka berhijrah atas pelbagai sebab seperti mendapatkan peluang berbeza, mendirikan rumahtangga dan membina keluarga serta berpeluang menuntut ilmu di luar negara.

“Dalam hal ini (penghijrahan), tidak bermakna mereka tidak boleh menyumbang kepada Malaysia.

“Jadi, kita perlu terus membina dan memperkukuhkan rangkaian dengan diaspora rakyat Malaysia di luar negara untuk kebaikan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama lebih 350 pelajar Malaysia di University College London, Ahad lalu.

Dalam sesi itu, sebanyak 38 aspirasi berjaya dikumpulkan bagi merealisasikan visi TN50.

Pada Sabtu lalu pula,  Khairy berkesempatan mengadakan dialog yang serupa bersama kira-kira 200 penuntut Malaysia di sekitar Scotland di The University of Edinburgh dan mengumpulkan 45 aspirasi pelajar di sana.

Ini adalah kali pertama beliau sebagai menteri yang bertanggungjawab melaksanakan TN50, mengadakan dialog secara bersemuka dengan penuntut Malaysia di luar negara.

Beliau juga telah beberapa kali melaksanakan perbincangan secara atas talian seperti menggunakan teknologi Skype.

Beliau gembira dan berbangga dengan kualiti aspirasi yang telah dinyatakan oleh penuntut Malaysia dalam usaha membina negara bangsa yang lebih baik.

“Lawatan ini amat berbaloi kerana kualiti aspirasi mereka amat baik dan tepat seperti mahukan kemajuan yang lestari, penjagaan alam sekitar dan mahu Malaysia muncul sebagai negara maju di samping mengutamakan soal kesopanan dan etika dalam kalangan rakyat kita.

“Selain itu, mereka juga mengutamakan soal silibus pendidikan terkini kerana kira-kira 60 peratus pekerjaan masa hadapan tidak wujud sekarang.

“Jadi, mereka mahukan pelajar di sekolah dilengkapkan dengan pendidikan yang terkini dan dinamik seperti pengaturcaraan,” katanya sambil menyifatkan dua sesi dialog itu sebagai berjaya.

Sejak siri dialog TN50 dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Januari lalu, Kementerian Belia dan Sukan kini telah mengumpul lebih 80,000 aspirasi rakyat untuk didokumentasikan.

Mereka kini dalam proses menyiapkan laporan akhir inisiatif berkenaan dan akan menyerahkannya kepada Perdana Menteri pada akhir tahun ini.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *