Kekangan kewangan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi, bukan lagi masalah kepada anak muda Malaysia sejak Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi (PTPTN) diwujudkan 20 tahun lalu.

Sesuai matlamatnya membantu melahirkan masyarakat berpendidikan tinggi, seramai 2.7 juta pelajar negara ini sudah dibantu sejak April 1997 menerusi pinjaman pendidikan PTPTN membabitkan dana lebih RM50 bilion.

Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid, berkata secara puratanya setiap tahun 200,000 pelajar mendapat manfaat daripada PTPTN.

“Kita sentiasa menyediakan dana bagi memastikan generasi akan datang dapat belajar menerusi bantuan pinjaman pendidikan daripada PTPTN.

“Dari segi bayaran balik, kita dapati masyarakat mula sedar tanggungjawab mereka. Ada peningkatan yang ketara dalam kutipan balik PTPTN.

“Kalau dulu, kita hanya mampu mengutip RM750 juta setahun tetapi tahun lalu kutipan meningkat kepada RM3.4 bilion. Perkara ini kita tafsirkan sebagai kesedaran dalam kalangan peminjam,” katanya ketika ditemui, hari ini. Yang turut hadir Pengurus Besar Kanan PTPTN, Abdul Ghaffar Yusop.

Mastura berkata, peminjam kini mulai sedar yang bayaran balik ini bukannya bertujuan menyusahkan mana-mana pihak tetapi adalah tanggungjawab mereka.

“Ini kerana, bayaran balik itu dapat membantu memastikan PTPTN mempunyai dana untuk meneruskan pembiayaan kepada pelajar akan datang,” katanya.

Sebagai galakan bayaran balik, Bajet 2017 menawarkan diskaun 10 peratus kepada peminjam yang membuat potongan gaji, bayaran secara debit terus dan membayar 50 peratus daripada baki keseluruhan, manakala diskaun 15 peratus untuk bayaran penuh.

Masa sama, PTPTN kini menawarkan produk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i/SSPN-i Plus) bagi membantu ibu bapa membuat perancangan awal.

“Sekarang ibu bapa yang mempunyai anak yang ingin melanjutkan pelajaran, hanya memikirkan pinjaman PTPTN tetapi menerusi SSPN-i/SSPN-i Plus, kita membantu ibu bapa membuat perancangan awal.

“Menerusi perancangan awal ibu bapa, kebergantungan anak-anak mereka terhadap pinjaman pendidikan dapat dikurangkan,” katanya.

Mastura berkata, tahun ini kerajaan menyediakan peruntukan RM25 juta untuk diberikan sebagai deposit percuma kepada ibu bapa yang mempunyai anak Tahun Satu di sekolah bantuan penuh kerajaan.

Geran sepadan ini diberikan kepada ibu bapa yang membuka akaun baharu SSPN-i/SPPN-i Plus dengan deposit sekurang-kurangnya RM50.

“Dengan deposit sekurang-kurangnya RM50, setiap murid Tahun Satu akan diberi deposit tambahan sebanyak RM50 di bawah geran sepadan. Kita berharap lebih ramai ibu-bapa merebut peluang ini dengan mengunjungi mana-mana pejabat atau kaunter PTPTN terdekat, kerana tempoh hanya berbaki tidak sampai empat bulan,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *