Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Penjawat Awam Antara Calon PRU14

Penjawat Awam Antara Calon PRU14

KUALA TERENGGANU, Sebahagian 40 peratus calon disenaraikan Ketua UMNO bahagian di negeri ini, untuk mewakili UMNO bagi Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14), nanti adalah penjawat awam.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri (BPUNT), Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata calon itu disenaraikan oleh UMNO bahagian dan diteliti oleh BPUNT, sebelum diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, beberapa bulan lalu.

Ahmad Razif yang juga Menteri Besar berkata, penjawat awam yang diterima baik oleh peringkat akar umbi diyakini mampu menyumbang kepada kemenangan parti.

“Penerimaan rakyat menjadi antara kayu pengukur yang melayakkan mereka diangkat sebagai calon yang dikemukakan kepada Najib yang juga Perdana Menteri untuk dimuktamadkan.

“Berdasarkan beberapa PRU lalu, ada antara kalangan penjawat awam tersenarai sebagai calon bertanding di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar dan ADUN Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis serah tugas pegawai kanan kerajaan negeri dan angkat sumpah pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Ismail dan Pegawai Kewangan negeri, Datuk A Rahman Yahya.

“Setakat ini, senarai calon bertanding di 32 kerusi DUN dan lapan kerusi parlimen di negeri ini sudah dikenal pasti oleh Presiden parti,” katanya.

Leave a Reply

Top