Kerajaan tidak akan mengenakan cukai terhadap peniaga kecil yang menjalankan perniagaan dalam talian apabila Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 dipinda pada masa akan datang.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata pindaan itu dibuat kerana kerajaan mahu mengenakan cukai kepada syarikat penyedia platform dalam talian dari luar negara.

Secara dasarnya, katanya, kerajaan mahu mengenakan cukai kepada syarikat antarabangsa seperti Uber, Airbnb, Grab,Amazon dan Google.

“Semua ini adalah syarikat multinasional yang membina platform dan meraih keuntungan tinggi apabila berjuta rakyat Malaysia menggunakan perkhidmatan mereka.

“Semua syarikat yang beroperasi di Malaysia dikenakan cukai oleh kerajaan, tetapi platform ini tidak dicukai sedangkan mereka membuat banyak keuntungan di sini.

“Bagaimanapun, bukan mudah untuk mengenakan cukai ke atas mereka kerana negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) belum dapat mencari penyelesaian tepat mengenakan cukai kepada mereka sehingga kini.

“Ia masih dalam proses dan sementara itu, nikmati saja teknologi sedia ada. Semua peniaga kecil boleh teruskan perniagaan dan kerajaan tidak akan mengenakan cukai kepada anda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyampaian biasiswa dan anugerah Yayasan Jeffrey Cheah kepada pelajar Universiti Sunway, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Canselor Universiti Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah.

Johari berkata, menerusi pindaan itu, pihaknya mahu menjadikan suasana perniagaan di Malaysia sama rata kerana tidak adil jika hanya syarikat di Malaysia dikenakan cukai tetapi syarikat asing tidak membayar cukai.

“Ideanya ialah kita mahu mengurangkan jurang ketidakseimbangan antara transaksi digital dan bukan digital,” katanya.

Mengulas kenyataan Bank Dunia menyemak naik unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia untuk tahun ini kepada 5.2 peratus daripada 4.9 peratus yang diumum Jun lalu, Johari berkata, semakan itu susulan pencapaian memberangsangkan suku pertama dan kedua lalu.

Katanya, momentum ditunjukkan Malaysia pada separuh pertama tahun ini adalah baik dan menjadi antara sebab KDNK negara disemak semula.

“Dari sudut positifnya dagangan global meningkat, semua sektor bertambah baik, harga minyak dunia naik dan ia adalah pertumbuhan yang positif,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *