Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Peluang Sertai ATM Di Padang Merdeka Hari Ini

Peluang Sertai ATM Di Padang Merdeka Hari Ini

TAWAU, Sempena Istiadat Perbarisan Penganugerahan Battle Honour ‘Daulat Februari 2013’ pada malam ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengadakan Pameran Statik dan Aset di pekarangan Padang Merdeka di sini, hari ini.

Pameran bermula pada jam 9 pagi hingga 6 petang itu dibuka kepada orang ramai.

Antara dipamerkan ialah aset ATM seperti kereta perisai dan persenjataan yang digunakan ketika konflik pencerobohan di Lahad Datu, yang memberi peluang kepada pengunjung untuk melihatnya dengan lebih dekat.

Ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu Tentera Darat (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut terbabit mengadakan pameran perkhidmatan masing-masing.

Kementerian Pertahanan menerusi satu kenyataan berkata, orang ramai berpeluang melihat dan memahami dengan lebih jelas peranan elemen dalam ATM yang terbahagi kepada tempur, bantuan tempur dan bantuan perkhidmatan.

“Peranan setiap elemen ini amat penting dalam menjayakan setiap operasi yang dijalankan.

“Selain aset, pameran kerjaya turut diadakan bagi menarik minat dan membuka peluang kepada rakyat Sabah terutamanya di Kota Kinabalu yang berminat untuk menyertai ATM dan menjadikan sebagai kerjaya pilihan.

“Di booth pameran kerjaya setiap perkhidmatan (Darat, Laut dan Udara), orang ramai boleh mendapatkan semua maklumat yang diperlukan untuk menjadi anggota ATM,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan pergigian secara percuma juga disediakan, malah Hospital Medan didirikan bagi memberi peluang kepada orang ramai melihat sendiri bagaimana anggota Kor Kesihatan Diraja (KKD) menjalankan operasi merawat anggota di kawasan operasi.

“Turut diadakan persembahan Band D’Bampflyde, Gelombang Biru (TLDM), Pancaragam Pusat Rejimen Renjer Diraja, Kawad Senyap TLDM dan Pancaragam Pusat TUDM,” katanya.

Malam ini, 230 pegawai dan 1,880 anggota ATM menyertai Perbarisan Penganugerahan Battle Honour ‘Daulat Februari 2013’ di Padang Merdeka yang turut dihadiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Acara itu diadakan bagi menghargai semua anggota ATM yang terbabit dalam Op Daulat ketika menangani pencerobohan pengganas di Lahad Datu pada Februari 2013.

Leave a Reply

Top