Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > PDRM Diberi Kuasa Penuh Hapus Sindiket Dadah

PDRM Diberi Kuasa Penuh Hapus Sindiket Dadah

Polis Diraja Malaysia (PDRM) diberi kuasa penuh untuk bertindak mengikut sebarang pendekatan bagi menumpaskan sindiket dadah, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan memandang serius terhadap statistik yang menunjukkan 55.4 peratus kegiatan jenayah di negara ini, tahun lalu mempunyai kaitan dengan sindiket dadah.

Katanya, perangkaan itu menyaksikan peningkatan mendadak berbanding 2015, iaitu 48 peratus manakala 2014 (42 peratus).

“Saya bagi kuasa sepenuhnya kepada PDRM diketuai Tan Sri Khalid Abu Bakar (Ketua Polis Negara) untuk tumpaskan sindiket dadah, khususnya memberkas ‘king’ kegiatan ini.

“Lakukanlah apa saja, asalkan tak ikut seperti (Presiden Filipina, Rodrigo) Duterte, tapi hapuskan (sindiket dadah) seperti Duterte, ” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan MCPF Ke-24, di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi MCPF; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar; Naib Pengerusi Kanannya, Tan Sri Lee Lam Thye dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.

Duterte, menang pilihan raya pada Mei, tahun lalu dengan menyuarakan janji untuk membunuh berpuluh-puluh ribu penjenayah bagi menghalang Filipina daripada menjadi sebuah negara dadah.

Sejak daripada itu, beliau melancarkan operasi memerangi dadah besar-besaran yang menyaksikan lebih 4,000 dibunuh, setakat ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, program pemuliharaan bekas penagih dadah di negara ini sepatutnya menitikberatkan pengisian aktiviti berkonsepkan pembangunan rohaniah dan pendidikan agama.

“Beberapa pusat pemulihan yang menggunakan pendekatan ini menunjukkan kadar keberkesanan lebih tinggi, justeru saya harap ia menjadi contoh oleh semua pihak,” katanya.

Leave a Reply

Top